Harimau Malaya terikat 1-1 dengan Kyrgyzstan dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek, tengah malam tadi- Ihsan FAM
PETALING JAYA: Harimau Malaya berjaya mengikat Kyrgyzstan 1-1 dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek, tengah malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, keputusan itu membolehkan anak-anak buah Kim Pan Gon meraih satu mata namun, ia belum cukup untuk mengubah kedudukan Harimau Malaya di tempat ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata.
Dalam aksi itu, Kyrgyzstan terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Gulzhigit Alykulov pada minit ke-24, namun Malaysia bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol sendiri Valery Kichin pada minit ke-38.
Keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat separuh mata pertama dibunyikan dan bersambung babak kedua, permainan seimbang disajikan kedua-dua pasukan dengan Kyrgyzstan melakukan beberapa pertukaran pemain.
Peluang terbaik Malaysia untuk memimpin perlawanan hadir menerusi Paulo Josue pada minit ke-82, namun rembatan deras kapten Kuala Lumpur City (KL City) itu berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Kyrgyzstan, tokotaev Erzhan.
Skuad The White Falcons juga mencipta beberapa peluang tetapi penjaga gol negara, Azri Ab. Ghani tangkas menyelamatkan gawang daripada dibolosi sekali lagi.
Pada lapan minit terakhir Pan Gon membuat pertukaran dengan membawa masuk Safawi Rasid, Adib Ra’op dan Haqimi Azim Rosli dalam usaha memburu gol kemenangan.
Bagaimanapun, usaha bertali arus kem negara gagal untuk menghasilkan gol kemenangan dan wisel penamat dibunyikan dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Harimau Malaya akan turun dalam misi wajib menang dengan jumlah jaringan yang besar ke atas Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 11 Jun ini bagi menghidupkan peluang ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2026.
Dalam masa yang sama, skuad kendalian Pan Gon turut mengharapkan Kyrgyzstan akan tewas kepada Oman dalam aksi terakhir kumpulan.
Ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul tujuh mata selepas lima perlawanan, tiga mata di belakang Kyrgyzstan yang menghuni tangga kedua.
Oman yang menewaskan pasukan tercorot, Taiwan 3-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan D menghuni tangga teratas dengan 12 mata dan sudah mengesahkan tempat ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 serta layak ke Piala Asia 2027.


































