Goh Soon Huat dan Shevon Lai menjuarai acara beregu campuran badminton Malaysia Masters selepas menundukkan pasangan Indonesia, Rivaldy Rinov-Mentari Pitha Haningtyas pada perlawanan akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai menyifatkan kejayaan menjulang gelaran Kejohanan Badminton Malaysia Masters di hadapan penyokong sendiri merupakan kenangan cukup manis dan sukar untuk diungkap dengan kata-kata.
Menurut Utusan Malaysia, beregu campuran No. 18 dunia itu menundukkan pilihan ketiga, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia 21-18, 21-19 dalam masa 47 minit pada perlawanan akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil, dekat sini.
Kejayaan tersebut juga menyaksikan pasangan pengantin baharu itu membawa pulang pingat emas dan hadiah wang tunai bernilai AS$33,180 (RM156,267).
Kali terakhir wakil negara memenangi Malaysia Masters dalam saingan beregu campuran ialah menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada 2017.
Bagi Soon Huat-Shevon, kejayaan pada Malaysia Masters merupakan gelaran kedua dimenangi pilihan keempat itu selepas Terbuka Switzerland, Mac lalu.
Shevon berkata, antara Terbuka Switzerland dan Malaysia Masters, kedua-dua kejohanan itu memiliki tarikan yang berbeza.
“Semasa kami memenangi Terbuka Switzerland, kami telah mara ke final sebanyak tiga kali dan akhirnya kami berjaya merangkul gelaran, tetapi pada Malaysia Masters, ia sesuatu yang sangat berbeza.
“Kemenangan di sini yang paling manis kerana kami melakukannya di hadapan penyokong sendiri dan juga keluarga kami yang turut hadir di stadium menyaksikan kami beraksi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tamat.
Ketika ditanya mengenai perancangan mereka selepas ini, Shevon memberitahu, mereka akan berangkat ke negara seberang bagi menyertai Terbuka Singapura, minggu depan, selepas itu Terbuka Indonesia.
“Memang penat, kami berharap akan terus kekal konsisten dan paling penting kami kena jaga diri sendiri agar keadaan fizikal kami tidak terjejas untuk kejohanan berikut,” ujarnya yang mensasarkan untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir, hujung tahun ini.
Sementara itu, pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi menepati status sebagai pilihan pertama selepas mereka membenam gandingan Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 17-21, 21-19, 21-18 untuk menjuarai beregu wanita.
Bagi saingan perseorangan wanita pula, jaguh No. 7 dunia, Wang Zhi Yi dari China menewaskan pemain berpengalaman India, Pusarla V. Sindhu 16-21, 21-5, 21-16 dalam satu lagi perlawanan akhir.