Joniston melakukan gimik pelancaran sambutan Kaamatan dan Moginakan di Kampung Sinulihan hari ini.
KIULU: Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai mengulangi cadangan penubuhan jawatankuasa dwipartisan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi tumpuan kepada perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya tuntutan lama Sabah terhadap 40 peratus hasil.
Beliau berkata, jawatankuasa itu perlu melibatkan wakil Kerajaan dan pembangkang, termasuk parti politik yang tidak mempunyai kerusi dalam Dewan Undangan Negeri.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan perbincangan mengenai hak Sabah mencerminkan pandangan lebih luas dan tidak terhad kepada wakil rakyat semata-mata.
“Isu 40 peratus ini memberi kesan kepada semua rakyat Sabah. Jadi adalah adil untuk pelbagai suara dan idea didengar tanpa mengira latar belakang politik,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu ketika berucap merasmikan sambutan Kaamatan dan Moginakan di Kampung Sinulihan, di sini, hari ini.
Joniston yang juga Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, walaupun Kerajaan Negeri pimpinan GRS sedang giat mengusahakan tuntutan Sabah di bawah MA63 termasuk hak 40 peratus hasil, jawatankuasa dwipartisan boleh membantu menghimpunkan idea serta input praktikal daripada semua pihak.
“Ini bukan soal siapa mendapat kredit. Apa yang penting ialah bagaimana kita bergerak ke hadapan bersama demi Sabah.
“Kita mungkin berbeza pandangan politik, tetapi dalam soal hak Sabah, kita perlu mencari titik persamaan. Ini lebih besar daripada politik,” katanya.
Beliau berkata, cadangan seumpama itu juga pernah dibangkitkan oleh parti politik lain sebelum ini dan pendekatan dwipartisan mampu mengelakkan isu berkenaan daripada terus menjadi bahan politik setiap kali musim pilihan raya.
Menurutnya, PBS secara konsisten membangkitkan isu berkaitan MA63 dan tuntutan 40 peratus sejak penubuhannya pada 1985.
“Suatu ketika dahulu, PBS dikritik kerana terlalu lantang dalam isu ini malah dilabel sebagai bersifat kenegerian dan anti-Persekutuan. Namun hari ini, semakin ramai mengakui bahawa mempertahankan hak Sabah adalah tanggungjawab bersama.
“Berdasarkan pengalaman, kemajuan dicapai apabila wujud rasa hormat, kerjasama yang stabil dan perbincangan ikhlas yang berfokus kepada penyelesaian,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Joniston berkata, kerja pengukuran tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR) di Kiulu kekal menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.
Beliau memaklumkan Jabatan Tanah dan Ukur telah meluluskan 312 permohonan daripada penduduk Kampung Sinulihan bagi pengukuran tanah NCR seluas 2,087 ekar melibatkan 635 lot.




























