Armizan Mohd. Ali
RANAU: Program Jelajah Harta Intelek yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menjadi inisiatif baharu dalam memperkukuh potensi produk tempatan sebagai aset harta intelek bernilai tinggi.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendekatan itu bertujuan mengenal pasti serta memperkasa produk tempatan agar dapat dilindungi dan dikomersialkan secara lebih strategik.
Menurutnya, pemilikan harta intelek dalam pelbagai bentuk seperti petunjuk geografi (GI), cap dagangan, paten dan hak cipta mampu meningkatkan daya saing produk tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Jelajah Harta Intelek ini merupakan pendekatan menyeluruh untuk memastikan produk tempatan bukan sahaja dilindungi, malah dimanfaatkan sepenuhnya sebagai aset ekonomi yang mampu menjana nilai tambah kepada negara,” katanya ketika merasmikan program tersebut di sini hari ini.
Program tersebut turut melibatkan Sabah Tea yang diusahakan oleh Desa Tea Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan dalam industri perladangan teh yang mula beroperasi sejak 1973.
Pengeluaran teh di kawasan itu bermula pada 1978 dengan keluasan kira-kira 6,200 ekar yang dikelilingi hutan hujan tropika berusia lebih 130 juta tahun.
Selain penghasilan teh, Sabah Tea turut membangunkan ekosistem perniagaan merangkumi sektor hospitaliti, pelancongan berasaskan pengalaman serta produk hiliran yang memanfaatkan identiti dan reputasi asal usul geografinya.
Armizan berkata, Sabah Tea juga antara contoh awal kejayaan pemanfaatan instrumen harta intelek di Sabah apabila memperoleh perlindungan Petunjuk Geografi (GI).
“GI merupakan antara instrumen harta intelek paling strategik dalam membangunkan ekonomi berasaskan identiti, reputasi dan keunikan produk tempatan.
“Ia bukan sahaja memposisikan produk sebagai premium bernilai tinggi, malah mewujudkan kesan pengganda ekonomi kepada komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan dan rantaian nilai ekonomi,” katanya.
Beliau menjelaskan, kesan pengganda itu melibatkan sektor seperti inap desa, restoran, pengangkutan serta kraftangan di kawasan sekitar pusat pengeluaran.
Sehingga April 2026, Malaysia merekodkan sebanyak 130 produk GI berdaftar, dengan 31 daripadanya berasal dari Sabah, menjadikan negeri itu antara penyumbang utama kepada portfolio GI negara.
Antara produk GI yang telah membina identiti pasaran tersendiri termasuk Sabah Tea, Tenom Coffee, Borneo Virgin Coconut Oil, Sabah Seaweed, Tawau Cocoa, Tambunan Ginger dan Batik Sabah.
Dalam pada itu, Armizan berkata KPDN melalui MyIPO sedang membangunkan mekanisme perlindungan harta intelek yang lebih lengkap dan tersusun, termasuk merangka Sabah Intellectual Property Development Plan 2026-2030.
Katanya, pelan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda memperkasa ekonomi berasaskan inovasi melalui pengukuhan perlindungan harta intelek, pembangunan penilaian IP, pembiayaan berasaskan IP serta peluasan pasaran produk tempatan.
“Pelan ini akan memberi fokus kepada pembangunan ekosistem harta intelek yang lebih bersepadu termasuk mengenal pasti produk GI baharu bernilai tinggi seperti hasil pertanian tanah tinggi, rumpai laut dan kraftangan komuniti tempatan.
“Ia bagi memastikan kekayaan biodiversiti, warisan budaya dan kearifan lokal Sabah dapat diterjemahkan kepada sumber ekonomi yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, KPDN akan terus memperkukuh agenda pembangunan harta intelek sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi akar umbi.
“Menerusi pendekatan tersusun dan strategik, usaha ini diharap membuka lebih banyak peluang kepada komuniti, usahawan tempatan dan pemain industri untuk menjadikan harta intelek sebagai aset menjana nilai ekonomi mampan,” katanya.






























