Metaverse Wales boleh diakses melalui set kepala Meta Quest.
Wales terkenal dengan keunikan bangunan purba dan panorama menarik.
Daripada runtuhan purba hingga landskap yang menarik, Wales mempunyai senarai panjang tarikan unik yang mampu memukau ratusan ribu pelancong setiap tahun.
Pelancaran Wales dalam metaverse diyakini dapat memberi pelawat maya dari seluruh dunia peluang untuk melihat apa yang ditawarkan di negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, badan pelancongan Visit Wales berharap inisiatif baharu itu akan menarik minat pelawat secara maya untuk datang sendiri ke negara itu di dunia sebenar pada masa hadapan.
Penganjur metaverse berkata, Wales merupakan negara Eropah pertama yang menggunakan pendekatan itu untuk memasarkan lokasinya sebagai destinasi pelancongan.
Pengumuman itu dibuat selepas laporan jawatankuasa ahli Parlimen yang diterbitkan Julai lalu mendapati Wales tidak mempunyai jenama yang koheren untuk menarik pelawat luar negara.
Metaverse Wales kini dibuka kepada orang ramai dan boleh dimasukkan pada telefon pintar, tablet, komputer riba, komputer dan melalui set kepala Meta Quest.
Pengunjung ke metaverse boleh berjalan di sekitar pulau mayanya termasuk istana yang dilengkapi peta Wales.
Terdapat juga kereta kabel seperti yang ada di Llandudno di Conwy di mana orang ramai boleh mengembara dari satu sisi metaverse kepada yang lain.
Pelawat juga boleh mengambil bahagian dalam pencarian, termasuk mengumpul naga tersembunyi di seluruh pulau maya itu serta membina jadual perjalanan interaktif dari lokasi sebenar yang boleh dilawati.
Wartawan TV, Steffan Powell yang menjadi juruacara majlis pelancaran produk itu berkata, pengalaman metaverse akan memberi peluang pengunjung merasai semua perkara menarik yang boleh diliihat dan dilakukan semasa bercuti di Wales.
“Ini adalah peluang hebat untuk mempromosikan Wales kepada dunia dan cara inovatif yang berpotensi membuka mata berjuta-juta pengunjung kepada keindahan Cymru,” katanya.
Menurut Visit Wales, kira-kira 600 juta orang setahun menggunakan platform metaverse.
Menteri Pelancongan, Hannah Blythyn berkata, matlamat inisiatif itu adalah untuk mencapai khalayak baharu di mana sahaja mereka berada.
“Usaha ini akan dapat menarik pelancong dari seluruh dunia mengetahui tentang Wales dan memberi inspirasi kepada mereka untuk melawat negara kita yang hebat ini.
“Dengan mempamerkan beberapa tawaran terbaik kepada pelawat melalui cara yang sangat inovatif ini, kami meletakkan Wales di sfera dalam talian di mana berjuta-juta orang bertemu setiap hari,” katanya.
Metaverse Wales dikuasakan oleh iCreate dan dihoskan di platform Spatial.
“Matlamat kami adalah untuk menghidupkan keunikan Wales dalam pengalaman penerokaan yang mengasyikkan.
“Ia juga membantu peserta merancang jadual perjalanan impian mereka di Wales sambil menyelesaikan pencarian mini dalam pengalaman metaverse,” kata Pengasas iCreate, Dawn Lyle.