Chan meninjau perkembangan pelaksanaan pengeluaran benih bawang merah yang dilaksanakan bersama usahawan tani bimbingan MARDI di Kampung Mesilou, Kundasang.
KUNDASANG: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara menerusi pembangunan Projek Pengeluaran Benih Bawang Merah MARDI di Kundasang, Sabah yang dilihat berpotensi menjadi antara hab pengeluaran bawang merah strategik negara menjelang tahun 2030.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin ke projek berkenaan bagi meninjau perkembangan pelaksanaan pengeluaran benih bawang merah yang dilaksanakan bersama usahawan tani bimbingan MARDI di Kampung Mesilou, Kundasang.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa industri bawang merah tempatan melalui penghasilan benih berkualiti tinggi, peningkatan produktiviti pengeluaran serta pengurangan kebergantungan negara terhadap import bawang.
Semasa lawatan, beliau turut diberikan taklimat mengenai kemajuan projek termasuk penggunaan varieti bawang merah MARDI iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 yang dibangunkan khusus bagi menyokong pengeluaran bawang tempatan secara lebih mampan dan kompetitif.
Turut diadakan lawatan ke kawasan tanaman bawang serta Rumah Pengeringan dan Penyimpanan Benih Bawang Merah yang dibangunkan oleh MARDI sebagai infrastruktur sokongan bagi memastikan pengeluaran benih dapat dilaksanakan secara konsisten serta memenuhi standard kualiti yang ditetapkan.
Kemudahan bernilai RM523,000 tersebut berfungsi sebagai pusat pengendalian, pengeringan dan penyimpanan benih sebelum diedarkan ke Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Inisiatif ini selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030 di samping memastikan industri bawang negara kekal relevan, mampan dan berdaya saing.
Projek pengeluaran benih bawang merah ini dilaksanakan bersama usahawan bimbingan MARDI, Shahrizal Denci yang mula terlibat di bawah program MARDI pada tahun 2024. Sepanjang dua musim penanaman terdahulu, beliau berjaya menghasilkan sebanyak 20 metrik tan bawang merah melibatkan kawasan seluas lima ekar.
Seiring perkembangan projek, kawasan penanaman kini sedang diperluaskan secara berperingkat sehingga mencapai 40 ekar menjelang tahun 2030 dengan sasaran pengeluaran keseluruhan sehingga 200 metrik tan. Pembangunan berskala besar ini dijangka mampu meningkatkan bekalan bawang merah tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bawang.
Selain memperkukuh pengeluaran benih bawang tempatan, projek ini turut menjadi model kerjasama strategik antara kerajaan, institusi penyelidikan dan komuniti tani dalam membangunkan ekosistem industri bawang merah yang lebih moden, berdaya tahan dan bernilai tinggi.
MARDI akan terus komited memperkasa pembangunan teknologi pertanian, pemindahan inovasi serta sokongan teknikal kepada komuniti tani bagi memastikan industri bawang merah tempatan terus berkembang secara mampan dan mampu menyumbang kepada agenda sekuriti makanan negara.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pengarah MARDI, Dato’ Dr. Haji Mohamad Zabawi Abdul Ghani.






























