KOTA KINABALU: Tindakan berani seorang suspek yang cuba merempuh anggota polis ketika melarikan diri daripada kegiatan mencuri kabel telekomunikasi membawa padah apabila dia berjaya diberkas dalam kejadian awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.13 pagi di Jalan Tuaran berhampiran Jabatan Audit, sepasukan anggota polis bersama kakitangan Telekom Malaysia yang sedang menjalankan rondaan mengesan dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah manhole milik syarikat berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati beberapa individu sedang melakukan kerja-kerja pemotongan kabel telekomunikasi sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Suspek kemudian melarikan diri menggunakan sebuah Toyota Hilux dan sebuah van Hiace, namun situasi bertukar tegang apabila pemandu Hilux bertindak agresif.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab. Rahman berkata, suspek dipercayai cuba merempuh anggota polis yang cuba menghalang laluan kenderaan tersebut.
“Semasa cubaan melarikan diri, pemandu Toyota Hilux dipercayai telah cuba merempuh anggota polis yang cuba menghalang laluan kenderaan berkenaan sehingga membahayakan keselamatan anggota yang sedang menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, anggota polis bagaimanapun berjaya mengelak daripada dirempuh dan terus bertindak mengejar kenderaan terbabit.
“Hasil tindakan pantas, pihak polis berjaya menahan Toyota Hilux berkenaan berhampiran Jalan Likas, berdekatan stesen minyak Shell Likas,” katanya.
Beliau berkata, dua orang suspek berjaya ditahan, manakala sebuah lagi kenderaan jenis van Hiace berjaya meloloskan diri dan kini sedang dikesan.
“Pihak polis turut merampas beberapa peralatan termasuk alat pemotong kabel yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah ini,” katanya lagi.
Pemeriksaan lanjut mendapati kabel milik Telekom Malaysia telah dipotong namun belum sempat dibawa keluar dari lokasi kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh susulan tindakan cuba merempuh anggota polis.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Syed Lot menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang bertindak agresif dan membahayakan keselamatan anggota keselamatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kenderaan van Hiace yang melarikan diri diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau pegawai penyiasat Insp. Saiful Azri Ismail di talian 014-6115879.
Polis Daerah Kota Kinabalu akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan jenayah curi kabel yang boleh menjejaskan sistem komunikasi awam dan keselamatan infrastruktur negara.






























