PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka melaksanakan pemberian vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertussis (D-TAP) kepada ibu mengandung bermula akhir tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, suntikan itu penting bagi melindungi bayi baru lahir daripada jangkitan penyakit Pertussis atau batuk kokol.
“Kerajaan juga telah meluluskan pelaksanaan pemberian vaksin D-TAP itu dan dijangka bermula pada hujung tahun 2024,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2024, di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, pemberian vaksin itu akan diberikan secara percuma dan dimasukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (atau NIP).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life, Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, pemberian vaksin D-TAP kepada ibu mengandung bertujuan memberi perlindungan bayi dalam kandungan daripada penyakit batuk kokol.
“Selalunya kes batuk kokol ni mereka (pesakit) tidak dapat vaksin atau belum dapat vaksin itu (D-TAP). Kita mahu supaya anak sebelum mereka tiba ke umur tiga bulan, mereka dapat imunisasi ini daripada ibu mereka,” katanya.
Katanya, pemberian D-TAP sebanyak satu dos itu akan diberikan kepada ibu mengandung bagi sesi trimester ketiga atau usia kandungan antara 27 hingga 32 minggu.
“Vaksin itu untuk setiap kandungan, jika ibu itu mengandung setiap tahun, setiap tahun dia akan diberi vaksin itu,” katanya.


































