KOTA KINABALU: Dua lelaki cedera selepas diserang dengan senjata tajam dalam satu kejadian di kawasan jambatan berhampiran Blok C, Kampung Sembulan Lama, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut yang melibatkan kecederaan akibat serangan menggunakan senjata tajam.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika kedua-dua mangsa bersama beberapa rakan berada di lokasi berkenaan untuk membeli minuman.
“Ketika itu, berlaku salah faham antara mangsa dengan seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai ‘Totong’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan salah faham itu, satu pertengkaran tercetus sebelum suspek dipercayai pulang ke rumah untuk mengambil senjata tajam iaitu sabit dan kapak.
Katanya, suspek kemudian kembali ke lokasi kejadian dan menyerang kedua-dua mangsa.
Akibat kejadian itu, mangsa pertama mengalami kecederaan di bahagian belakang leher dan kaki, manakala mangsa kedua cedera di bahagian leher serta lengan.
“Kedua-dua mangsa telah mendapatkan rawatan lanjut di hospital berhampiran dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Kasim berkata, pihak polis telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian serta merakam percakapan pengadu dan beberapa saksi bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
Tambah beliau, usaha mengesan dan menangkap suspek yang dikenali sebagai ‘Totong’ sedang giat dijalankan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian.
































