TOKYO: Pihak berkuasa Jepun mengumumkan sistem tempahan dalam talian untuk laluan paling popular di Gunung Fuji sebagai usaha menangani kebanjiran pelancong di gunung berapi aktif itu.
Menurut Utusan Malaysia, gunung tertinggi di Jepun itu menjadi semakin sesak semasa musim panas, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kerosakan alam sekitar.
Untuk mengurangkan kesesakan di Laluan Yoshida yang menjadi pilihan kebanyakan pejalan kaki, wilayah Yamanashi merancang untuk menghadkan penyertaan harian kepada 4,000 pelawat, yang akan dikenakan bayaran AS$13 (RM61.47) setiap seorang.
Tempahan dalam talian juga akan diperkenalkan buat kali pertama kepada golongan pendaki bagi menangani kebimbangan mereka apabila had harian dicapai.
“Sistem itu akan menjamin kemasukan orang ramai melalui pintu masuk baharu, membolehkan mereka merancang perjalanan lebih awal,” kata pegawai kerajaan wilayah Yamanashi, Katsuhiro Iwama.
Tempahan dalam talian dibuka pada 20 Me ini untuk musim kembara Julai hingga September dengan sekurang-kurangnya 1,000 tempat akan disediakan untuk kemasukan secara terus.
Gunung Fuji dilitupi salji hampir sepanjang tahun tetapi pada musim panas, lebih 220,000 pelawat menyusuri cerunnya yang curam dan berbatu, malah ramai yang mendaki sepanjang malam untuk melihat matahari terbit.
Sesetengah mereka cuba mencapai puncak pada ketinggian 3,776 meter tanpa rehat hingga sakit atau cedera.
Pelancong juga berpusu-pusu ke kawasan sekitar untuk merakam gambar gunung tersergam indah yang dilihat sebagai simbol Jepun, tetapi popularitinya terbukti membebankan penduduk tempatan.
Dalam satu lokasi bergambar di mana Gunung Fuji muncul di belakang kedai serbaneka Lawson, pegawai yang marah bertindak membina penghadang jaringan hitam yang besar untuk menghalang pemandangan tersebut.
Penduduk yang bekerja dan tinggal berhampiran sering mengadu tentang kebanyakan pelancong asing yang menceroboh, membuang sampah dan secara berbahaya melintas jalan untuk mendapatkan siaran Instagram sempurna.
Rekod bilangan pelancong luar negara ke Jepun pada bulan Mac melebihi tiga juta buat kali pertama.
Penduduk daerah geisha Kyoto juga melarang pelancong dari lorong-lorong persendirian selepas aduan bahawa ada yang secara kasar menuntut swafoto bersama penghibur berpakaian kimono.


































