Lee Zii Jia
KLANG- Kerajaan sedang meneliti permohonan pemain perseorangan badminton utama negara, Lee Zii Jia bagi persiapannya memburu pingat emas pertama Malaysia pada Temasya Olimpik Paris 2024.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, permohonan tersebut telah dibuat oleh pemain itu baru-baru ini, namun enggan mendedahkan permintaan yang diminta Zii Jia.
“Semua sedia maklum bahawa Zii Jia tidak termasuk di dalam program Road To Gold (RTG) 2024. Tetapi mana-mana atlet di bawah persatuan sukan atau persendirian yang layak pada temasya Olimpik, kerajaan akan bantu sebaik mungkin.
“Zii Jia ada mohon beberapa perkara dan ketika ini, saya meneliti permohonan itu,” katanya ketika menghadiri program Be-Leaf Mangrove Tree Planting di Mangrove Point, di sini, Ahad
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) baru-baru ini mengumumkan senarai pemain badminton dunia yang layak ke temasya sukan terbesar itu, yang akan berlangsung di Paris, Perancis bermula 26 Julai ini.
Selain Zii Jia, antara pemain badminton negara yang layak adalah Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Woo Yiik (beregu lelaki), Pearly Tan-Thinaah Muralitharan (beregu perempuan) dan Cheng Tan Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).
Dalam pada itu, Hannah menasihatkan semua atlet untuk menjaga kesihatan mereka dalam tempoh kurang daripada tiga bulan kerana apa-apa kecederaan yang berlaku kepada mereka akan mengganggu persiapan mereka.
“Kalau cedera, mereka mungkin beraksi dalam temasya dalam keadaaan tidak berapa baik dan saya selalu nasihatkan mereka mengenai hal ini.
“Apa pun, fokus ketika melakukan latihan yang kini berada dalam fasa akhir dan elak alami kecederaan ketika melakukan latihan ketika ini,” katanya.


































