Seorang anggota polis dilihat berada di pekarangan rumah mangsa yang dipercayai telah diceroboh dan disamun awal pagi tadi di Kamoung Guar Perahu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
BUKIT MERTAJAM : Gara-gara kaki dan tangan diikat manakala mulutnya pula disumbat dengan kain bersama pita pelekat, seorang lelaki yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) secara tiba-tiba tidak sedarkan diri sebelum menemui ajal.
Kejadian itu berlaku di sebuah rumah kampung dua tingkat di Kampung Guar Perahu di sini, awal pagi kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa yang berusia dalam lingkungan 80-an memaklumkan bahawa rumah mereka berada dalam keadaan berselerak dipercayai akibat disamun.
Kata Helmi, pengadu juga mendapati bahawa isteri dan anak istimewanya yang bisu itu telah diikat kaki dan tangan serta mulut mereka pula disumbat dengan kain ketika kejadian.
“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, hanya pengadu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an serta isteri tinggal dalam rumah tersebut.
“Kira-kira pukul 6.30 pagi, pengadu yang tidur di bilik berasingan bagaimanapun terbangun dari tidur sebelum ke bilik isterinya yang berusia dalam lingkungan 70-an dan mendapati wanita itu diikat kaki dan tangannnya menggunakan ‘cable tight’.
“Pada masa yang sama, mulutnya pula disumbat kain beserta pita pelekat hitam manakala jari kanan wanita itu juga cedera,” katanya di sini, kelmarin
Helmi berkata, pemeriksaan lanjut di bilik anaknya mendapati mangsa tidak sedarkan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek dipercayai terdiri daripada dua orang lelaki yang bersenjatakan parang.
“Selepas menceroboh rumah mangsa, suspek kemudian bertindak mengikat mangsa dan isteri pengadu sebelum menggeledah bilik mangsa dan mengambil wang tunai serta sebuah peti televisyen,” ujar beliau.
Susulan kejadian itu katanya, polis telah menahan seorang suspek berusia 40-an untuk membantu siasatan.
“Semakan terhadap rekod lampau lelaki tersebut mendapati, dia mempunyai lima kes jenayah dan lima kes berkaitan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya yang memberitahu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ek depan untuk membantu siasatan.
Tambah Helmi, maklumat berkenaan boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Assan Alimuddin di talian 012-4418081 atau menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan.