PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak dakwaan serangan yang dilakukan terhadap tiga pemain Liga Malaysia (Liga M) mempunyai kaitan dengan tindak balas daripada surat layang yang dituju kepada badan induk itu.
Menurut Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan terhadap tiga insiden berasingan yang menimpa Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim.
“Tiada komen. Itu biar pihak berkuasa jalankan siasatan dan akan dapat laporan selepas kejadian tersebut.
“Kita kena terima hakikat ini adalah qada dan qadar tetapi apa pun perkara tidak baik kita perlu atasinya jadi ada sesetengah bahagian MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan FAM mainkan peranan.
“Saya minta rakyat jangan buat spekulasi. Saya fikir itu tafsiran masing-masing jadi biar polis yang buat sisatan. Saya harap tiada lagi kejadian seperti ini dan suspek dapat ditangkap. Sama-sama kita berdoa,” katanya.
Hamidin ditemui pemberita selepas melawat Faisal bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Faisal mengalami kelecuran tahap empat selepas menjadi mangsa simbahan asid, Ahad lalu manakala Akhyar cedera setelah disamun di Terengganu.
Terbaharu, Safiq diserang dua lelaki tidak dikenali semalam sehingga menyebabkan cermin belakang keretanya pecah.
Bagaimanapun, Hamidin berkata, beliau enggan mengulas lanjut mengenai insiden tersebut dan menyerahkan sepenuh kepada polis bagi menjalankan siasatan.
































