Saadiah Aziz
SIPITANG: Fasa 1A Projek Sabah Southern MADANI Link yang melibatkan pembinaan talian penghantaran 275 kilovolt (kV) sepanjang 60 kilometer dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Mengalong ke PMU Upper Padas kini mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 17 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 16 September 2028.
Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Saadiah Aziz berkata, projek bernilai RM198 juta itu melibatkan pembinaan 162 menara penghantaran dan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh sistem grid elektrik Sabah.
Katanya, projek berkenaan mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan menerusi pinjaman mudah yang diluluskan di bawah Belanjawan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan telah mula dilaksanakan pada 17 September 2025.
“Fasa 1A Sabah Southern MADANI Link melibatkan pembinaan talian penghantaran 275kV sepanjang 60 kilometer dari PMU Mengalong ke PMU Upper Padas dengan pembinaan 162 menara penghantaran.
“Projek ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh kestabilan grid, meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik dan membolehkan tenaga disalurkan dengan lebih cekap ke seluruh negeri,” katanya pada Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link di Kompleks Kebudayaan Persatuan Lundayeh di sini, pada Sabtu.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta barisan kepimpinan Persekutuan dan negeri.
Saadiah berkata, pembangunan Sabah Southern MADANI Link merupakan kesinambungan kepada projek East-West Interconnection yang dilaksanakan pada 2005 dan Sarawak-Sabah Interconnection yang mula beroperasi pada awal tahun ini.
Menurutnya, apabila siap kelak, rangkaian penghantaran baharu itu akan menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah sekali gus meningkatkan kecekapan pengagihan tenaga di seluruh negeri.
Beliau berkata, projek itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 3.8 juta penduduk Sabah melalui sistem bekalan elektrik yang lebih stabil, mampan dan berdaya tahan.
“Sabah Southern MADANI Link akan memperkukuh kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik, meningkatkan daya tahan grid dan mengoptimumkan penjanaan tenaga di seluruh negeri.
“Pada masa sama, projek ini akan membuka laluan kepada integrasi tenaga boleh baharu pada skala lebih besar serta menyokong pembangunan Grid Borneo dan aspirasi ASEAN Power Grid,” katanya.
Saadiah berkata, projek berkenaan juga selaras dengan agenda Malaysia MADANI, Sabah Maju Jaya 2.0, National Energy Transition Roadmap (NETR) dan Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP) 2040.
Beliau berkata, Fasa 1B projek itu pula akan melibatkan pembinaan talian penghantaran 275kV dari PMU Upper Padas ke PMU Kalumpang sepanjang 270 kilometer dengan pembinaan 890 menara.
“Apabila keseluruhan projek siap, ia akan menjadi tulang belakang kepada pembangunan Tenom Hydro Hub yang merangkumi beberapa projek hidro utama di kawasan Pedalaman Sabah,” katanya.
Menurut beliau, projek itu bukan sekadar pembinaan talian penghantaran elektrik, sebaliknya merupakan pelaburan strategik yang akan memperkukuh keselamatan tenaga negeri, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah untuk jangka panjang.






























