Besi terjatuh dan menusuk lengan serta rusuk kiri seorang pemandu kereta dalam kejadian di Pantai Sepat di Kuantan, Pahang.
KUANTAN: Seorang lelaki nyaris maut apabila sebatang besi terjatuh dari sebuah lori dan menusuk lengan serta rusuk kirinya dalam kejadian di Pantai Sepat, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Jamaludin Amin, 45, kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Katanya, kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 3.30 petang apabila sebatang besi sepanjang 0.75 meter dipercayai terjatuh dan melayang menembusi cermin hadapan kereta dipandu sebelum terkena mangsa.
“Siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Alza dalam perjalanan dari arah Penor menghala ke arah Tanjung Lumpur.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebatang besi dipercayai jatuh dari sebuah lori dari arah bertentangan terkena cermin depan sebelum tembus masuk ke dalam kereta dan menusuk lengan serta rusuk mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Mohd. Zahari, berdasarkan maklumat awal, lori terbabit dipercayai berwarna hijau jenis roro membawa sisa bahan binaan namun nombor pendaftarannya belum dapat dipastikan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana cuai hingga mendatangkan kecederaan terhadap orang awam di mana usaha mengesan pemandu serta lori terlibat masih dijalankan.
Tambahnya, pihaknya juga kini sedang mengesan saksi-saksi awam yang mungkin melihat kejadian untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, tular perkongsian seorang individu di Facebook dipercayai ahli keluarga mangsa berkaitan kejadian terbabit.
Individu terbabit memohon bantuan pengguna jalan raya yang mungkin terakam kejadian melalui kamera papan pemuka bagi mengesan lori terlibat.