Dr. Jeffrey Kitingan
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan eksport Sarang Burung Walet (SBW) mentah keluar negeri bernilai lebih RM38 juta pada tahun lepas, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Beliau berkata, angka tersebut melibatkan 27,385 kg SBW.
Katanya, tahun ini, sejumlah RM100,000 diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah untuk pemantauan projek burung walet di seluruh negeri Sabah.
“Walau bagaimanapun, peruntukan pembangunan untuk aktiviti pembinaan RBW baharu atau penyelenggaraan RBW sedia ada adalah tidak tersedia. Ini akan diusahakan sebaik sahaja Lembaga Burung Walet (LBW) ditubuhkan,” katanya.
Menurut beliau, industri burung walet telah pun dicadangkan oleh DVS pada tahun 2021 dan 2022 sebagai program membasmi kemiskinan penduduk di luar bandar Sabah melalui Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM), namun tidak disokong oleh Unit Perancang Ekonomi Persekutuan pada masa itu.
Dr. Jeffrey berkata demikian dalam ucapan penggulungan untuk Kementerian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, kelmarin.
Keterjaminan Makanan
Berkenaan dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berkaitan dengan penanaman padi, beliau berkata, keterjaminan makanan adalah agenda utama negara dan Sabah.
Sehubungan dengan itu, tambahnya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Oktober 2023 telah memutuskan semua GLC memperuntukkan sebahagian dari kawasan ladang mereka bagi pengeluaran makanan terutamanya padi.
“Perlu diingat, bukan semua kawasan ladang GLC sesuai untuk tanaman kelapa sawit. Terdapat juga kawasan lain yang lebih sesuai untuk tanaman lain.
“Kerajaan Negeri telah mengenal pasti Sawit Kinabalu sebagai GLC yang boleh menyumbang kepada pembangunan tanaman makanan berdasarkan kepada keluasan tanah, pengalaman dalam pengurusan dan berupaya mempelbagaikan perniagaan tanaman makanan.
“Oleh sebab itu, kolaborasi strategik bersama pihak GLC secara langsung akan menambah keluasan kawasan penanaman padi dan mengurangkan kebergantungan terhadap beras import,” katanya.
Lembaga Padi dan Beras Sabah
Berhubung isu penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah, Dr. Jeffrey berkata, Kementerian telah memperolehi sokongan Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 April yang lepas untuk mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri bagi pewartaan penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah.
“Proses penubuhan ini telah selesai dan kabinet telah bersetuju serta Tuan yang Terutama telah memperkenan pada 17 April yang lepas untuk pewartaan dan akan beroperasi pada tahun ini,” kata beliau.
Mengenai isu jelapang padi untuk kelestarian keterjaminan makanan di Sabah, beliau berkata, Sabah hanya mempunyai sebuah kawasan yang telah diisytiharkan sebagai jelapang padi iaitu Jelapang Padi Kota Belud di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan melalui Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud.
Katanya, IADA Kota Belud telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program pembangunan dan pengurusan sawah serta penanaman padi di daerah Kota Belud yang berkeluasan 7,669.97 hektar.
“Manakala, 20 daerah penanaman padi lain adalah dikategorikan sebagai luar jelapang dengan keluasan 16,065.71 hektar.
“Sebagai tambahan, syarat untuk mewujudkan jelapang padi memerlukan keluasan minima 4,000 hektar.
“Sabah tidak mempunyai tanah rata yang luas dan tersedia seperti di Semenanjung disebabkan faktor geografi bagi memenuhi kriteria tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata, cadangan mewujudkan jelapang padi Sabah berasaskan clustering telah dimaklumkan dalam Dewan Rakyat dengan harapan jelapang padi Sabah diiktiraf dan mendapat bantuan sepertimana petani di Semenanjung.
Berkenaan penanaman padi di Trusan Sapi, bagi tempoh tahun 2021 sehingga 2023, beliau memaklumkan bahawa seramai 203 petani telah menanam padi sebanyak dua musim setiap tahun di Skim Penanaman Padi Trusan Sapi.
Katanya, purata penanaman setiap tahun adalah lebih kurang 500 hektar yang mempunyai kemudahan pengairan dan saliran.
“Daripada jumlah keluasan yang ditanam, hasil pengeluaran padi adalah 2,740 metrik tan bagi tempoh 3 tahun tersebut dengan purata pengeluaran sebanyak 2.24 mt/ha bagi tempoh tersebut,” katanya.
Tentang usaha kerajaan dalam meningkatkan pengeluaran padi, katanya, MAFFI melalui Jabatan Pertanian Sabah telah dan sedang meningkatkan penggunaan jentera serta automasi atau mekanisasi pada semua peringkat penanaman dan pengeluaran padi.
Tambah beliau, Kementerian melalui JPS melaksanakan projek menaik taraf sistem pengairan dan saliran bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi di Sabah.
Jabatan, katanya, turut menjalankan penyelidikan (research and development/ R&D) untuk membangunkan varieti padi sawah yang berhasil tinggi (High Yield Variety/ HYV).
“Di samping itu, penerapan pakej teknologi peningkatan hasil padi dan Amalan Pertanian Baik (APB) kepada para petani dilaksanakan bagi membantu peningkatan pengeluaran padi.
“Kerajaan Negeri juga telah meluluskan Lembaga Padi Sabah khusus untuk menangani penanaman dan pengeluaran padi. Kita cuba untuk mengubah sikap penanam padi daripada penanaman bagi tujuan keperluan sendiri kepada penanaman pengeluaran komersil,” katanya.
Beliau menambah, Jabatan Pertanian menyediakan subsidi pembajakan sawah padi kepada semua pesawah yang berdaftar.
Di samping itu, katanya, Projek Peningkatan Hasil Padi menyediakan insentif berbentuk input pertanian seperti baja dan racun kimia (rumpai dan pest control), penyelenggaraan parit jejari dan perkhidmatan dron untuk semburan baja foliar dan kawalan perosak serta penggunaan benihHigh Yielding Variety (HYV) seperti TR8.
Berkenaan dengan isu kekurangan jentera pembajak di kawasan Kadamaian, beliau menjelaskan bahawa terdapat 53 buah jentera pembajak empat roda dan 34 buah jentuai di kawasan itu yang mempunyai keluasan sawah berjumlah 1,939.73 hektar.
Berdasarkan kepada keluasan fizikal sawah ini, jumlah jentera pembajak dan jentuai adalah mencukupi dan hanya memerlukan penyelarasan jadual penggunaan jentera secara optimum melalui Jawatankuasa Penanaman Padi Daerah (JPPD),” katanya.
Program Tingkat Pendapatan
Sementara itu, Dr. Jeffrey memberitahu bahawa jabatan dan agensi di bawah MAFFI juga melaksanakan pelbagai program peningkatan pendapatan kumpulan sasar iaitu petani, penternak, nelayan dan usahawan tani.
“Tidak dinafikan terdapat golongan miskin dan miskin tegar di dalam kumpulan sasar kementerian.
“Oleh itu, program-program yang dilaksanakan mampu meningkatkan pendapatan para peserta program dan seterusnya membantu mereka keluar daripada kelompok miskin dan miskin tegar.
“MAFFI melalui Korporasi Pembangunan Desa (KPD) turut melaksanakan Program Perladangan Secara Kontrak yang melibatkan penduduk luar bandar sebagai usaha membantu kerajaan dalam pembasmian kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata, usaha pembasmian kemiskinan adalah melalui pelaksanaan projek-projek seperti Penternakan Ayam Pedaging, Penternakan Ayam Kampung, Penternakan Lebah Madu, Pemeliharaan Cendawan Shiitake dan Tanaman Pomelo yang disertai oleh 500 orang petani dan penternak di luar bandar.
Tambahnya, MAFFI akan memanfaatkan komoditi pertanian yang memiliki permintaan dan pasaran yang tinggi seperti tanaman cili dan nanas yang boleh dikembangkan sebagai produk hiliran.
“Jabatan Pertanian telah mengenal pasti jenis tanaman yang berpotensi sebagai produk hiliran dan menyediakan latihan kemahiran pemprosesan produk hiliran berasaskan tanaman makanan kepada masyarakat tani.
“Setakat 2023, seramai 18 orang usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bimbingan Jabatan terlibat dalam perusahaan produk hiliran berasaskan cili dan nanas.
“Pada tahun 2022, pengeluaran tanaman tomato adalah 1,614.4 metrik tan berbanding dengan keperluan Negeri Sabah iaitu 1,758.25 metrik tan dan negeri Sabah masih mengimport sejumlah 143.85 metrik tan tomato,” katanya.
Disebabkan pengeluaran bahan mentah yang tidak mencukupi, katanya, kilang produk hiliran berasaskan tomato belum dapat diwujudkan dan tidak ada pengusaha IKS yang terlibat.
Perikanan
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Jeffrey berkata, MAFI melalui Jabatan Perikanan Sabah sedang menghasilkan baka induk F1 (First Generation) yang berkualiti untuk spesis ikan siakap dan kerapu melalui Program Pembangunan Induk Ikan Marin.
Katanya, pihak jabatan juga sedang merancang untuk membuat percubaan pembiakan ikan milkfish atau ikan baulu yang dikategorikan sebagai ikan rakyat.
Di samping itu, katanya, pihak jabatan mendapatkan induk – induk yang berkualiti dari perairan semulajadi serta memperoleh makanan dan ubat-ubatan yang diperlukan bagi memastikan kesihatan dan kesuburan induk- induk ikan.
“Selain itu, jabatan juga mempunyai Program Pembangunan Industri Hiliran bagi menggalakkan graduan, belia dan keluarga nelayan menceburi sektor hiliran perikanan.
“Program tersebut memberi insentif berbentuk peralatan pemprosesan, pelaksanaan kursus, latihan in-situ dan bantuan peralatan.
“Program ini memberi peluang kepada para pengusaha baru mempromosikan hasil produk mereka dan jabatan membantu melalui nasihat serta rekomendasi kepada pengusaha baru untuk mendapatkan pinjaman kewangan di institusi kewangan bagi memulakan perusahaan mereka,” katanya.
Tambah beliau, dengan adanya perusahaan-perusahaan produk hiliran perikanan ini, maka ianya dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Dalam pada itu, katanya, jabatan juga membangunkan sektor perikanan di Daerah Semporna termasuk DUN Bugaya melalui pelaksanaan program dan projek untuk rumpai laut, akuakultur (marin dan air tawar), Transformasi Sosio-Ekonomi Nelayan dan Penternak Miskin/Termiskin, Pembangunan Hiliran dan pemuliharaan sumber perikanan.
Mengenai saranan untuk mengadakan Program Integrasi Pertanian dan Perikanan di kawasan Tungku, katanya, MAFFI melalui Jabatan Perikanan telah melaksanakan inisiatif mewujudkan integrasi perikanan dan agro pelancongan untuk pengusaha akuakultur marin di Sabah.
“Program pengusaha ladang akuakultur melibatkan lima orang pengusaha telah berjaya menambah rantaian aktiviti daripada ternakan kepada agro-pelancongan di mana sumber pendapatan dipelbagaikan melalui inap desa (homestay), restoran terapung dan pancing rekreasi,” katanya.
Dr. Jeffrey turut mrnyokong saranan agar Industri Akuakultur dimodenkan seperti penggunaan Sangkar Terapung & Sangkar Tenggelam di laut dan di daratan menggunakan teknologi yang tinggi, di mana Jabatan Perikanan telah mengambil beberapa langkah untuk mentranformasi sektor perikanan di Sabah.
Di bawah sektor perikanan tangkap, katanya, kerajaan mempunyai program Fishing Vessel Modernization, iaitu kapal nelayan yang dilengkapi dengan teknologi tinggi iaituIntruder Intervention System Vessel Monitoring System (iiVMS).
Bagi sektor akuakultur di bawah inisiatif ekonomi biru, katanya, Kementeriannya sedang mempelawa beberapa syarikat untuk melabur di Sabah atau menjadi peneraju bagi aktiviti ternakan ikan dalam sangkar di laut dalam atau Deep Sea Mariculture.
Berkenaan isu masalah kerosakan terumbu karang akibat aktiviti bom ikan dan pencemaran alam sekitar lain, tambahnyq, kementerian beliau melalui Jabatan Perikanan sentiasa aktif dalam membanteras pengeboman ikan.
“Jabatan melaksanakan pemuliharaan persekitaran terumbu dan menjalankan penguatkuasaan melalui beberapa siri operasi khas bagi membanteras penggunaan bahan letupan dalam aktiviti penangkapan ikan,” katanya.
Ternakan
Dalam perkembangan lain mengenai peralihan kepada pembiakbakaan ternakan, Dr. Jeffrey berkata, Kementeriannya melalui DVS Sabah telah membuat lima perancangan jangka masa panjang bagi mengurangkan kebergantungan import ternakan dari luar negara dan beralih kepada pembiakbakaan tempatan.
Perancangan tersebut katanya meliputi usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) bekalan daging segar selaras dengan Inisiatif Keselamatan Makanan Negara melalui Penternakan Lembu secara Fidlot.
“DVS Sabah telah bekerjasama dengan sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi peningkatan populasi daripada 14,000 ekor kepada 35,000 ekor pada tahun 2028.
“Di samping itu, DVS memperkasakan Program Penternakan Integrasi yang melibatkan pengagihan 840 ekor lembu pedaging, 1,050 ekor kambing pedaging dan 320 ekor bebiri setiap tahun bermula tahun 2021 hingga tahun 2025.
“Adalah dijangka kadar populasi ternakan akan meningkat daripada 30,000 ekor kepada 90,000 ekor menjelang 2030.
“Selain itu, program Lembah Tenusu Borneo menyumbang kepada 30% bekalan daging segar di pasaran tempatan,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan juga mempunyai 18 buah ladang pembiakbakaan ruminan di seluruh Sabah yang menyokong kepada perolehan baka, dan penternak tidak perlu lagi bergantung kepada perolehan baka daripada luar negara pada masa akan datang.
Katanya, Pusat Bioteknologi DVS Keningau telah membekalkan sebanyak 2,833straw semen pada tahun 2022 kepada GLC dan penternak tempatan untuk melaksanakan program Permanian Beradas (Artificial Insemination) bagi meningkatkan kecekapan pembiakan, memperbaiki genetik ternakan dan mencegah penyebaran penyakit.
“Baka-baka air mani lembu dan kambing yang dihasilkan ialah Pure Friesian (lembu tenusu),Wagyu (lembu pedaging), Cross Saanen (kambing tenusu) dan Cross Boer (kambing pedaging),” katanya.
Beliau berkata, MAFFI melalui DVS telah, sedang dan akan menjalankan pelbagai projek dan program untuk mengukuhkan industri penternakan di DUN Bugaya.
“Antaranya ialah program agihan ternakan ruminan di bawah inisiatif Projek Memperkasa Industri Ruminan Sabah, Projek Integrasi Ternakan Di Bawah Kelapa Sawit (PINTAR) dan Projek Ternakan Kambing Pedaging.
“Bantuan yang dberikan adalah dalam bentuk peralatan iaitu pagar elektrik, dawai duri, garam mineral dan baja pastura,” katanya.
Tambahnya, seramai dua orang peserta dengan jumlah agihan sebanyak 60 ekor kambing telah menerima agihan ternakan pada tahun 2022 untuk Semporna.
“Selain itu, DVS Sabah turut mengadakan program agihan itik jantan secara percuma.
“Seramai dua penternak ayam kampung dan satu penternak itik aktif di Semporna.
“DVS Sabah juga akan mengadakan Kursus Industri Asas Ternakan yang akan memberi bimbingan dalam pembangunan industri hiliran berasakan ternakan di Semporna pada 20 dan 21 Ogos 2024,” katanya.
Pengairan Dan Saliran
Berkenaan hal-hal lain, Dr. Jeffrey berkata, MAFFI melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada ketika ini sedang melaksanakan projek Pakej Repair and Improvement works of Piasau Dundau Headworks serta Kerja Pembinaan Terusan (irrigation canal / tali air) Pengangkutan dari Sg. Kadamaian ke Sg. Wariu yang mana projek ini turut merangkumi Kg. Piasau dan Kg. Siasai Dundau.
Bagi Kg. Togudon, Kg. Tombulion, Kg. Kinasaraban dan kampung- kampung lain, katanya, projek menaiktaraf kemudahan pengairan akan dicadangkan dalam Rancangan Malaysia ke-13.
Beliau menambah, Kementeriannya melalui JPS pada ketika ini juga sedang melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sg. Rampayan, Lembangan Sg. Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah untuk mengatasi banjir di kampung-kampung di DUN Darau.
“Namun demikian pembinaan parit-parit saliran dalam projek tersebut tidak dapat disiapkan sepenuhnya disebabkan masalah setinggan yang terdapat dalam jajaran projek.
“Keadaan ini juga telah menjejaskan fungsi parit-parit yang telah disiapkan dan boleh mengakibatkan masalah banjir.
“Bagi mengatasi masalah ini, JPS akan menggunakan pendekatan penyiapan pembinaan secara berperingkat supaya kerja- kerja penyenggaraan terhadap parit-parit yang telah disiapkan dapat dilaksanakan oleh kontraktor penyenggaraan,” katanya.
Beliau turut memohon kerjasama dari Adun Darau untuk mengadakan perbincangan dengan penduduk untuk membantu menyelesaikan masalah setinggan tersebut.
“Untuk makluman, penduduk setinggan-setinggan ini telah menerima saguhati dan tiada alasan untuk mereka masih menetap di tempat tersebut,” katanya.
Mengenai status terkini RTB Sungai Tawau dan jangka masa tebatan banjir dijangka siap, Dr. Jeffrey memberitahu bahawa Kementeriannya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tawau, Lembangan Sungai Tawau, Tawau, Sabah (Fasa 1A) yang melibatkan dua pakej iaitu Pakej 3 (melibatkan kerja-kerja pembesaran muara sungai) dan Pakej 4 (melibatkan kerja-kerja naiktaraf jambatan Batu 2 Jalan Apas).
“Pakej 3 telah siap sepenuhnya. Namun, terdapat pelbagai isu berbangkit di bawah Pakej 4 termasuklah isu perobohan struktur, kos pengalihan utiliti yang lebih tinggi berbanding anggaran terdahulu.
“Pemilikan tapak yang penuh dianggarkan tidak akan dapat diselesaikan dalam masa singkat dan akan menyebabkan kontraktor berhak membuat tuntutanloss & expense.
“Oleh itu, JPS telah bersetuju dengan permohonan pihak kontraktor untuk pengurangan skop kerja dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 7 Februari 2024,” katanya.
Bagi meneruskan kerja- kerja menaik taraf jambatan Batu 2 Jalan Apas, Dr. Jeffrey berkata, JPS sedang dalam proses untuk membuat penilaian semula terhadap kos dan spesifikasi baharu jambatan yang diberikan oleh JKR.
Tentang penyelenggaraan Sg. Memanjang bagi mengelakkan banjir di kampung-kampung berhampiran pula, katanya, MAFFI melalui JPS Sabah telah melaksanakan kerja penyelenggaraan Sg. Memanjang sekurang- kurangnya sekali setiap tahun melalui peruntukan Persekutuan bagi mengurangkan risiko banjir.
” Pada tahun ini, pelantikan kontraktor secara sebutharga telah dibuat dan kerja-kerja penyelenggaraan akan dimulakan dalam jangka masa terdekat [Quarter 2 (bulan 6- 12)].
“JPS Sabah akan mengemukakan cadangan kajian dan pelaksanaan projek di bawah RMKe- 13 bagi jajaran Sungai Memanjang untuk mengurangkan risiko banjir secara menyeluruh,” katanya.
Tentang status terkini projek Rancangan Mencegah Banjir di Sg. Kinabutan Kecil, Tawau, katanya, JPS telah melaksanakan projek Rancangan Mencegah Banjir di Sg. Kinabutan, Tawau bermula pada 5 Januari 2022 dan dijangka siap pada 4 Julai 2024.
“Skop utama projek ini ialah melebarkan, mendalamkan dan menaiktaraf [(Pengorekan Dan Pelebaran Sungai / Pemasangan Concrete – reinforced concrete drain (menggunakan armor rock)] Sungai Kinabutan Kecil sepanjang 420 meterRC Drain dan 455 meterArmour Rock (pertahanan tebing).
“Status terkini Projek ini ialah mendahului jadual kerja sebanyak 12.20%. Kemajuan mengikut jadual adalah sebanyak 85.56% manakala kemajuan sebenar di tapak telah mencapai 97.66%,” katanya.
Tentang isu penurunan gerbang Kg. Tunoh, Penampang, Dr. Jeffrey memaklumkan bahawa kerja-kerja menurunkan gerbang di Kg. Tunoh perlu dilakukan memandangkan ia terlibat dengan jajaran parit bagi Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sg. Moyog.
“JPKK Kg. Tunoh, Penampang telah dimaklumkan lebih awal tentang tarikh cadangan penurunan gerbang ini dan JPS juga telah memaparkan notis berserta tarikh.
“Gerbang tersebut akan dibina semula setelah projek selesai,” katanya.
Dr. Jeffrey turut respon mengenai isu yang dibangkitkan berhubung ketiadaan pelan komprehensif mengenai pengeluaran makanan.
“Kementerian saya melalui jabatan dan agensi di bawahnya memang mempunyai Pelan Komprehensif selari dengan Pelan Strategik Jabatan/Agensi masing-masing.
“Di bawah pelan tersebut, jabatan dan agensi telah mengenalpasti jenis pengeluaran makanan dan melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan pengeluaran yang optimum selaras dengan dasar keterjaminan makanan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Kementeriannya akan terus memberikan tumpuan kepada pengeluaran makanan dan termasuklah program-program pembangunan tanaman komoditi dan buah-buahan (seperti avokado, durian premium, nanas MD2, kelapa dan kopi).
“Tumpuan pembangunan ini bukan sahaja untuk memenuhi keperluan domestik tetapi dalam jangka masa panjang Sabah berpotensi sebagai pengeksport bersih terbesar hasil tanaman di rantau ini.
“MAFFI akan terus komited dengan usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) hasil pertanian terutamanya padi bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan di Sabah.
“Sehubungan dengan itu, Kementerian saya telah mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi di peringkat Kementerian bagi membincangkan dan menangani isu-isu berkaitan keterjaminan makanan,” jelas beliau.


































