Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Sabah menerima geran sebanyak RM625 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk pembaikan dan penyenggaraan jalan-jalan negeri, luar bandar, naik taraf jalan standard road type (SRT) 2 dan SRT 3 ke SRT 1, jalan-jalan Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah serta jalan pertanian tahun lalu.
Manakala caruman daripada Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM350 juta.
Menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang), Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, berdasarkan data yang diterima, pada tahun 2023, sepanjang 710 kilometer keadaan jalan negeri adalah dalam keadaan kategori teruk, manakala 126 km lagi dalam keadaan sangat kritikal.
“Ini memakan belanja dianggar sekitar RM1.8 billion. Dengan caruman dan geran yang ada, sebanyak hampir RM1 billion, kita mempunyai defisit dalam mengatasi atau melaksanakn kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan,” katanya ketika menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini kelmarin.
Kepada pertanyaan Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), beliau berkata, antara tindakan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah seperti berikut:
i) Kementerian akan memastikan pemantauan yang berkesan dan teliti terhadap setiap pakej kerja. Ini termasuk pemantauan terhadap kemajuan, spesifikasi dan penyelesaian isu tapak dengan kadar segera;
ii) Penilaian semula program kerja kontraktor; dan
iii) Kerjasama rapat bersama semua pihak yang terlibat termasuklah kontraktor, juru perunding, pihak utiliti dan pihak-pihak berkepentingan yang lain untuk menyelesaikan isu yang menyebabkan kelewatan kerja.
“Kemajuan kerja fizikal di tapak pada ketika ini adalah 64% bagi WP01 dan 49% bagi WP02.
“Setelah penelitian semula jadual kerja kontraktor dan mengambil kira lanjutan masa terbaharu, pakej-pakej ini dijangka siap pada Jun 2025 (WP01) dan April 2025 (WP02).”
Berhubung isu batu yang tidak selaras dengan spesifikasi yang ditetapkan, beliau berkata, pihak JKR tidak menetapkan spesifikasi penggunaan batu pasir sungai tidak boleh digunakan di dalam pembinaan.
“Pihak kontraktor tertakluk kepada prosedur standard Quality Assurance dan Quality Control (QAQC) di tapak. Pasukan penyeliaan sentiasa memastikan setiap bahan yang digunakan dalam pembinaan diuji dan diperiksa sebelum kebenaran meneruskan pembinaan diberi kepada pihak kontraktor,” jelasnya.
Mengenai aspek keselamatan, beliau berkata Kementeriannya akan mengarahkan pihak kontraktor untuk memperbaiki pengurusan trafik di tapak terutamanya di pakej WP01 dan WP02 dengan menyediakan papan tanda yang lebih jelas dan mengambil tindakan awal sekiranya terdapat tanda-tanda kerosakan jalan.
Kementerian akan memastikan kontraktor sentiasa mematuhi spesifikasi dan standard keselamatan yang ditetapkan, tambahnya.
Mengenai isu konsesi yang lambat mengambil tindakan setiap kali terjadinya masalah jalan raya, Shahelmey berkata, pihak JKR Sabah sebenarnya boleh memberikan Notis Ketidakpatuhan Kerja (Non-Compliance Report-NCR) bagi pelaksanaan kerja tampalan lubang yang lewat dilaksanakan oleh syarikat konsesi, iaitu satu hari untuk jalan protokol dan tiga hari untuk jalan bukan protokol.
Mengenai pertanyaan Datuk Rubin Balang (Kemabong), beliau berkata, bagi Jalan Tenom Kuala Tomani iaitu di jajaran yang bersebelahan dengan Sungai Padas, kerja pembersihan banjir lumpur sehingga menjejaskan parit tepi jalan dan paip pembetung di Jalan Tenom Kuala Tomani telah dibuat segera oleh pihak syarikat konsesi di bawah kerja kecemasan berikutan hakisan sungai di kawasan terlibat.
Namun begitu hakisan tebing sungai semakin teruk dan memerlukan kerja pembaikan berskala besar, katanya, sambil menambah lencongan jalan bersifat sementara di kawasan terlibat telah dibuat di tapak manakala cadangan kerja pembaikan berskala besar tersebut diangkat untuk kelulusan.
Berhubung pertanyaan Alias Sani (Sekong), Shahelmey berkata, terdapat 7 projek di dalam kawasan DUN Sekong yang telah disenaraikan di dalam program menaik taraf jalan raya SRT2, SRT3 JKR dan non-qualified road (NQR) PBT di Sabah selama 10 tahun.
Menjawab pertanyaan Azhar Matussin (Darau), Shahelmey berkata, terdapat sebanyak 8 buah jambatan di sepanjang Jalan Tuaran Bypass.
Jelasnya, kesemua jambatan tersebut adalah merupakan jambatan kekal iaitu Steel Girder Concrete Deck.
Bagi jambatan berkenaan, tiada aduan yang diterima berkaitan kes kecurian bolt & nut.
Berkaitan dengan permohonan untuk menaik taraf jambatan kayu di Kg. Kalansanan, Kg. Muhibbah dan Kg. Cenderamata, katanya, ia bukan merupakan aset di bawah kementerian ini.
Walau bagaimanapun, pihak JKR bersedia memberi bantuan dari segi khidmat teknikal dan pelaksanaan projek tersebut sekiranya diperlukan.
Kepada pertanyaan Datuk Annuar Ayub (Liawan), beliau berkata, beberapa jalan yang disebutkan memang telah dikenal pasti oleh pihak JKR Sabah dan disenaraikan dalam pengkalan data JKR Sabah untuk dicadangkan dalam senarai permohonan Rolling Plan yang akan datang dan akan diberi keutamaan.
Berhubung dengan isu kerosakan jalan yang dibangkitkan oleh Satuk George Hiew (Karamunting) bagi Jalan Sapi Nangoh ke Kinabatangan Sukau, beliau menjelaskan, ia berpunca daripada keadaan geologi tanah dan diburukkan lagi dengan isu lebih had muatan oleh kenderaan berat yang melalui jalan tersebut.
Struktur jalan raya sedia ada di laluan berkenaan sudah melangkaui jangka hayat dan kaedah penyelenggaraan biasa kurang berkesan selain peruntukan yang ada adalah terhad.
“Pihak JKR sebelum ini telah mengambil inisiatif untuk mengadakan kempen keselamatan jalan raya dan membangkitkan isu lebih had muatan kepada pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala penguatkuasaan kenderaan lebih had muatan ini adalah di luar bidang tugas pihak JKR.
“Namun demikian Kementerian Kerja Raya Sabah akan berhubung dengan Kementerian berkaitan untuk isu-isu tersebut.”
Berkaitan dengan cadangan atau permohonan Datuk Jonnybone Kurum (Telupid) agar bajet daripada JKR melalui pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo untuk membina suatu transit/pusat sehenti di Telupid, Shahelmey berkata, peruntukan berkenaan adalah tidak tersedia.
Jelas beliau, peruntukan yang diluluskan adalah terhad kepada naik taraf jalan persekutuan sedia ada sahaja. Walau bagaimanapun, pihak JKR akan memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Pusat.
Kementerian turut menghargai keprihatinan Jamil Hamzah (Bugaya) tentang isu keselamatan jalan raya.
Kata Shahelmey, Kementerian melalui JKR sememangnya mempunyai Program Keselamatan Jalan Raya yang telah dicadangkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Di dalam Program Keselamatan Jalan Raya ini mempunyai skim kecil dengan pelaksanaan secara berperingkat untuk merawat lokasi kerap berlaku kemalangan termasuklah di kawasan seperti sekolah SMK Bugaya dan SK Simunul.”
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian mempunyai perancangan untuk melaksanakan penambahbaikan skim keselamatan jalanraya yang merangkumi kemudahan pejalan kaki untuk meningkatkan keselamatan pejalan kaki, berdasarkan kepada tahap konflik antara pejalan kaki-kenderaan serta ruang untuk melintas dengan selamat serta menyediakan kemudahan tepi jalan yang menarik untuk menggalakkan mod alternatif pengangkutan seperti laluan berbasikal yang selamat.
Isu Air
Shahelmey berkata, Kementerian menyedari akan pentingnya air sebagai asas dalam kehidupan dan akan berusaha sehabis daya untuk menangani isu-isu berkaitan keperluan air di negeri ini melalui pelan jangka pendek dan jangka panjang serta tindakan-tindakan kecemasan yang perlu dilaksanakan.
Kepada isu SOP aduan yang dibuat oleh pengguna air Datuk Jafry Arifin (Sukau), beliau berkata, dari segi proses, apabila Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menerima aduan melalui Careline Incident Report, Superintending Officer Representative (S.O.R) akan mengeluarkan arahan kepada pihak kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan.
Katanya, kerja-kerja pembaikan tersebut termasuklah mobilisation and demobilisation of equipment, site clearing, detecting leak dan traffic control.
“Tindakan hendaklah dilaksanakan dalam masa dua jam selepas arahan diterima oleh S.O.R.”
Menurut beliau, kerja-kerja pembaikan kerosakan pelbagai saiz paip air tertakluk kepada keadaan cuaca, selepas menerima maklumat aduan atau pelaporan yang lengkap dan teratur di mana tempoh pelaksanaan adalah seperti berikut:
i) Pembaikan paip 600mm dan ke bawah – Satu hari; dan
ii) Pembaikan paip melebihi 600mm – Dua hari.
Berhubung isu dibangkitkan oleh Alias Sani (Sekong) mengenai ketiadaan air di pasar umum, beliau menjelaskan, masalah ini adalah disebabkan oleh kebocoran paip yang berlaku selepas meter JANS.
“Dalam kes seumpama ini, pembaikan adalah tanggungjawab pemilik bangunan iaitu Majlis Perbandaran Sandakan (MPS). Kementerian dimaklumkan bahawa MPS sedang membuat kerja-kerja pembaikan paip di dalam premis ini.”
Bagi isu ketiadaan air di Lapangan Terbang Sandakan pula, Shahelmey berkata, Jabatan Air Sandakan melaporkan tidak menerima sebarang aduan mengenai perkara ini, namun akan mengambil perhatian ke atas isu yang telah dibangkitkan.
“Selain daripada projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud, Sandakan, sebagai langkah alternatif bagi memastikan kemudahan air untuk rakyat Daerah Sandakan berterusan, satu lagi projek dalam pelaksanaan iaitu “Projek Menaiktaraf Sistem Bekalan Air termasuk Tangki Simpanan Air Utama di Sandakan” dan satu lagi dalam proses perolehan iaitu “To Investigate the Existing Boreholes and Design to Construct New Raw Water Source for Hilltop and Sibuga Water Treatment Plant”.”
Menjawab pertanyaan Datuk Frankie Poon (Tanjung Papat) berkaitan program menaik taraf paip-paip air yang usang, beliau berkata, Projek Menaik taraf Sistem Bekalan Air termasuk Tangki Simpanan Sandakan sedang dilaksanakan sejak Julai 2023 untuk tempoh pelaksanaan selama 36 bulan sehingga Julai 2026.
“Terdapat skop dalam kontrak projek tersebut iaitu kerja-kerja penggantian paip usang kepada paip baru jenis PVC bersaiz 200mm. Skop kerja tersebut akan melibatkan penggantian paip-paip lama di kawasan Batu10 bagi sepanjang 16km.
“Setakat ini, pihak kontraktor yang dilantik telah melaksanakan 53% penggantian paip baharu dan apabila siap kelak, kawasan-kawasan yang terjejas sebelum ini akan mendapat bekalan air yang berterusan tanpa gangguan.
“Selain itu, terdapat juga satu kontrak penyelengaraan yang dibahagikan kepada kawasan Sandakan, Kinabatangan dan Beluran iaitu Maintenance Repair and Routine Maintenance of Water Pipeline at Sandakan, Kinabatangan and Beluran District dengan kos berjumlah RM38 Juta. Kontrak ini berada dalam status pelaksanaan dan telah bermula pada 15hb April 2024”
Menjawab isu yang diutarakan oleh Azhar Matussin (Darau), Shahelmey berkata, kawasan Kalansanan dan Kg. Warisan merupakan antara salah satu kawasan yang menghadapi kadar kehilangan Air Tak Berhasil (NRW) yang tinggi akibat penyambungan haram.
“Mengikut rekod Jabatan Air Negeri Sabah, bilangan akaun berdaftar di kedua-dua kawasan tersebut adalah sebanyak 786, di mana kedua-dua kawasan ini terletak di penghujung sistem saluran bekalan air.
“Pengeluaran air di kedua-dua kawasan tersebut adalah sebanyak 3.5JLH manakala permintaan air adalah sebanyak 0.5 JLH. Bagi menangani isu ini, tindakan operasi pemotongan haram dan pengeluaran kompaun telah dibuat keatas pihak yang melakukan penyambungan haram,” jelanya.
Berhubung isu yang dibangkitkan oleh Datuk Darell Leiking (Moyog), beliau menjelaskan, masih terdapat dua projek yang telah diluluskan dalam Rolling Plan sebelum ini dan akan dilaksanakan dalam tempoh RMK-12 iaitu:
i) Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kg. Maang, Kg. Limbanak, Kg. Sugud dan Sekitarnya, Sabah; dan
ii) Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kg Moyog Atas dan Kawasan Sekitarnya, Penampang, Sabah.
“JANS telah mengemukakan senarai keutamaan Cadangan Projek Pembangunan Bekalan Air Negeri Sabah kepada pihak Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk pertimbangan kelulusan dalam Rolling Plan Ke-empat (RP4) Tahun 2025, pada 31 Januari 2024.”
Menjawab isu dibangkitkan oleh Dr. Daud Yusof (Bongawan), Shahelmey berkata, persempadanan daerah pentadbiran bukanlah isu atau halangan dari segi pengagihan air, khususnya kawasan liputan pengagihan.
Katanya, JANS akan tetap menyalurkan bekalan air terawat mengikut sistem rangkaian paip sedia ada tanpa mengambil kira sama ada kawasan tersebut berada dalam Daerah Membakut atau Daerah Papar.
Kepada pertanyaan Hamid Awang (Balung), Shahelmey berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Negeri Sabah RMKe-12 telah meluluskan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sistem Bekalan Air di Apas/Balung Dan Kawasan Sekitarnya, Tawau dalam RP3, RMK12.
Katanya, Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sistem Bekalan Air Di Balung Dan Kawasan Sekitarnya, ini diluluskan dengan anggaran kos RM328 juta dan kini berada dalam status pelantikan juruperunding.
“Pemuktamadan terma dan rujukan bagi pelantikan Juruperunding sedang dijalankan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan dijangka akan memulakan kerja-kerja Kajian dan Rekabentuk bermula suku kedua tahun ini.”
Isu Pembetungan
Berhubung pertanyaan Calvin Chong (Elopura) tentang masalah sistem pembetungan di Sandakan, Shahelmey berkata, bagi Taman Indah Apartment, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah, Sandakan telah memeriksa dan mengenal pasti punca masalah terhadap paip pembetungan dan cadangan penyelesaian.
“Pam yang tidak berfungsi dan rosak adalah disebabkan oleh kecurian dan keadaan pam yang telah uzur.
“Bagi mengatasi masalah kecurian, pihak Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah, Sandakan akan meningkatkan sistem keselamatan seperti melaksanakan pemantauan di waktu malam dan menaiktaraf pagar dengan sistem keselamatan agar isu kecurian dapat dikurangkan.
“Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah akan melaksanakan kerja penyelenggaraan pam secara berkala agar pam dapat berfungsi dengan baik. Bagi pam yang dalam pembaikan, pihak Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah akan memastikan pam tersebut dibaiki dan dipasang semula mengikut masa yang telah ditetapkan dan sekiranya gagal maka pihak kontraktor akan diambil tindakan.”
Isu Terminal
Mengenai perkara berkaitan terminal feri diutarakan oleh Justin Wong (Sri Tanjung), Shahelmey berkata, pada masa ini belum ada perancangan untuk menaik taraf Terminal Feri Tawau disebabkan terminal ini mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap dan masih mampu memenuhi kapasiti bagi menampung jumlah penumpang/pelancong.
Bagi cadangan untuk menaik taraf kelajuan feri yang sedia ada, katanya, ianya bukan di bawah bidang kuasa kementerian, namun perkara ini boleh dikemukakan kepada operator feri terminal untuk dipertimbangkan oleh pemilik/operator feri.


































