Isnin Aliasnih
KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) akan meneruskan cadangan untuk membangunkan pembangunan komersil di atas tanah LPPB di Pekan Melalap.
Pembantu Menteri I Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan (KKTP), Datuk Isnin Aliasnih berkata, pihak LPPB telah membuat pengiklanan melalui laman sesawang LPPB tentang perkara ini.
“Kita menjemput beberapa syarikat pemaju untuk membangunkan tanah kepada projek komersil dan setakat ini belum ada syarikat yang berminat untuk menjalin usahasama bagi membangunkan tanah tersebut,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Beliau yang juga Adun Klias menjawab pertanyaan Datuk Peter Anthony (Melalap) yang bertanya adakah pembinaan kedai, tamu di Pekan Melalap akan diteruskan seperti mana yang dirancang oleh kerajaan terdahulu.
“Untuk makluman, semasa kerajaan terdahulu, pihak LPPB telah menerima cadangan pembangunan untuk lot-lot kedai secara usahasama daripada sebuah syarikat.
“Walau bagaimanapun, perundingan tersebut tidak diteruskan oleh syarikat berkenaan,” kata Isnin.
Tambah beliau, pihak Kementerian sentiasa mengalu-alukan sekiranya ada cadangan pembangunan atau rakan usahasama yang difikirkan sesuai untuk membangunkan tanah tersebut.
“Sila kemukakan cadangan kepada Kementerian ini atau terus kepada pihak LPPB untuk tindakan selanjutnya,” jelas beliau.


































