Nizam Abu Bakar Titingan bersama Dr. Joachim Gunsalam pada persidangan DUN
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Kerajaan melalui sistem yang digunakan setakat ini telah berjaya merekodkan seramai 39,276 orang warga asing di Sabah.
“Warga asing melalui program ini didaftarkan dan didatakan secara digital melibatkan pengambilan maklumat peribadi, facial recognition dan biometric dengan menggunakan Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (S.W.I.M.S).
“Golongan warga asing ini didatakan adalah berdasarkan matriks pendataan berpandukan Akta Imigresen 1959/63 dan PeraturanPeraturan Imigresen 1963.
“Setakat ini, jumlah warga asing yang telah berjaya direkodkan ke dalam sistem S.W.I.M.S dan diperakukan oleh majikan adalah seramai 39,276 orang, yang merangkumi 21,994 orang pekerja dan 17,282 orang tanggungan,” katanya.
Menurut beliau, maklumat perincian penuh akan dimaklumkan setelah aktiviti pendataan digital lengkap sepenuhnya.
Nizam menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (Kadamaian) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Ewon bertanya apakah status semasa cadangan pendataan digital pendatang asing di Sabah dan berapakah jumlah pendatang asing terkini yang direkodkan di Sabah.
Nizam berkata, bagi merekodkan jumlah warga asing di Sabah, kerajaan menggunakan Program Outreach Aktiviti Pendataan Digital yang telah mula dilaksanakan sejak September 2022 sehingga kini dan masih lagi aktif dilaksanakan di lapangan.
“Pada fasa permulaan, Program Outreach Aktiviti Pendataan Digital ini tertumpu kepada sektor perladangan dan pembinaan, kerana kedua-dua sektor ini adalah sektor yang mempunyai bilangan warga asing yang tertinggi dan juga permintaan tenaga kerja yang aktif dalam kategori 3D iaitu Dirty, Difficult and Dangerous.
“Sejak bermulanya program Outreach Aktiviti Pendataan Digital pada 12 September 2022 sehingga kini, program ini sedang berjalan dengan aktif, termasuk semasa bulan Ramadan, di mana setakat ini sebanyak lima buah syarikat perladangan telah menyertai dan terlibat sepenuhnya,” katanya.
Menurut Nizam, antara syarikat tersebut adalah Kumpulan Sawit Kinabalu, Sabah Softwood Berhad, Benta Wawasan Sdn. Bhd. FGV Plantations dan Cepat Wawasan Group Berhad.
Sementara itu, beliau menegaskan, bagi golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) pula, Kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu-isu keselamatan yang melibatkan PATI di Sabah.
Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan akan sentiasa melaksanakan operasi penangkapan dan pengusiran terhadap golongan-golongan tersebut.


































