Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, inisiatif peralihan tenaga yang dilaksanakan Kerajaan Negeri membantu Sabah menangani cabaran berkaitan keselamatan bekalan tenaga serta tekanan kenaikan harga minyak global susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Beliau berkata, usaha yang diterajui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) sejak beberapa tahun lalu adalah tepat pada masanya dan mampu mengurangkan kesan ketidaktentuan tenaga global.
“Inisiatif peralihan tenaga oleh kerajaan negeri amat penting dalam membolehkan Sabah bertindak balas secara berkesan terhadap cabaran akibat konflik di Asia Barat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) pertama bagi tahun 2026 di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji mempengerusikan mesyuarat MTS.
Hajiji yang menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh keselamatan tenaga melalui strategi pembangunan yang seimbang dan berdaya tahan.
Beliau berkata, pendekatan itu merangkumi pemanfaatan sumber gas asli negeri, pembangunan tenaga hidro, penggunaan teknologi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), serta penerokaan projek hidro simpanan pam sebagai penyelesaian penyimpanan tenaga berskala besar bagi meningkatkan kestabilan dan fleksibiliti grid.
“Sabah kini bergerak ke arah meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan gas asli sebagai alternatif kepada diesel dan minyak bahan api marin,” katanya.
Hajiji berkata, sektor tenaga yang kukuh merupakan asas penting dalam menarik pelaburan serta memacu pertumbuhan industri di negeri ini.
“Bekalan tenaga yang stabil, mampan dan berdaya saing akan terus menyokong pertumbuhan kawasan perindustrian strategik, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tahun 2025, Sabah mencatat beberapa pencapaian penting dalam memperkukuh sistem bekalan elektrik negeri.
Antaranya termasuk penyiapan projek BESS berkapasiti 100 megawatt/400 megawatt-jam pada Ogos 2025 – yang terbesar di Asia Tenggara – serta pengoperasian sambungan grid Sabah–Sarawak pada Disember 2025 yang membolehkan import 50 megawatt tenaga elektrik.
Prestasi kebolehpercayaan bekalan elektrik turut menunjukkan peningkatan apabila Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) menurun daripada 416 minit pada 2024 kepada 338 minit pada 2025.
“Peningkatan memberangsangkan ini adalah hasil usaha berterusan semua pihak termasuk pengawal selia, utiliti, operator sistem dan pihak berkepentingan lain dalam memperbaiki perancangan serta operasi sistem bekalan elektrik Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, insiden runtuhan menara penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud akibat bencana alam pada September tahun lalu turut menekankan keperluan memperkukuh daya tahan grid, khususnya melalui pembangunan penjanaan mampan di Pantai Timur serta pelaksanaan grid Southern Link.
Dalam mesyuarat itu, MTS turut meluluskan beberapa langkah intervensi di bawah inisiatif Jawatankuasa Elektrifikasi Luar Bandar Sabah (JELaS) bagi mempercepat pencapaian liputan elektrik luar bandar 100 peratus, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
“Langkah-langkah ini selari dengan strategi Kerajaan Negeri untuk membina sistem tenaga yang berdaya tahan melalui campuran tenaga yang seimbang melibatkan tenaga boleh diperbaharui, gas asli dan teknologi penyimpanan tenaga.
“Ia juga akan memperkukuh infrastruktur grid termasuk pembangunan Southern Link, khususnya bagi meningkatkan kebolehpercayaan sistem di Pantai Timur Sabah,” katanya.
Hajiji turut mengumumkan pelantikan ahli baharu majlis iaitu Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Energy Corporation Datuk Ir. Ts. Adzmir Abd. Rahman.






























