KOTA KINABALU: Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan badan profesional dalam bidang kejuruteraan amat penting dalam menyokong pelaksanaan agenda pembangunan Sabah di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 secara lebih efisien.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peranan jurutera dan tenaga pakar teknikal menjadi antara pemacu utama dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan mampan, berkualiti dan berdaya tahan.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi Institut Jurutera Malaysia (IEM) Sabah di pejabatnya, di sini.
Masidi berkata, kepakaran dan pandangan profesional daripada IEM amat penting bagi membantu kerajaan negeri memastikan setiap projek yang dilaksanakan memenuhi keperluan semasa serta mengambil kira cabaran masa depan.
“Ini termasuk aspek perubahan iklim, keselamatan serta kecekapan kos yang semakin menjadi keutamaan dalam pelaksanaan projek pembangunan masa kini,” katanya.
Masidi berkata, IEM memainkan peranan penting dalam membantu merealisasikan aspirasi SMJ 2.0 melalui sumbangan kepakaran teknikal, inovasi serta amalan kejuruteraan terbaik.
“Pada masa sama, usaha melahirkan lebih ramai jurutera tempatan yang berkemahiran tinggi perlu diperkasa bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri yang semakin pesat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan kolaboratif antara sektor awam dan swasta merupakan antara teras utama dalam memperkukuh pelaksanaan SMJ 2.0.
Katanya, pendekatan itu memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi inklusif, pembangunan modal insan serta pengukuhan infrastruktur asas di seluruh negeri.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi IEM Sabah, Ir. Ts. Tan Kok Jyh berkata, pihaknya komited untuk terus menyokong usaha kerajaan negeri melalui perkongsian kepakaran teknikal dan khidmat nasihat.
Beliau berkata, IEM juga bersedia untuk terlibat secara aktif dalam projek-projek strategik bagi menjayakan inisiatif SMJ 2.0.
Menurutnya, kunjungan itu turut membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama dalam bidang kejuruteraan.
“Ia termasuk pembangunan infrastruktur hijau, pendigitalan serta penggunaan teknologi baharu dalam sektor pembinaan dan tenaga,” katanya.
Pertemuan tersebut mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak dalam memperkukuh sinergi demi memastikan agenda pembangunan Sabah di bawah SMJ 2.0 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, mampan dan inklusif.

































