KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bagi membantu siasatan kes samun yang turut menyebabkan kecederaan di sebuah premis dobi di Alamesra, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, suspek ditahan di kawasan Inanam selepas siasatan awal dijalankan susulan kejadian yang tular di media sosial.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku di premis Dobi Y&Y Laundry di Alamesra pada 15 April 2026 dan pihak polis mengesahkan kes berkenaan sedang dalam siasatan lanjut.
“Seorang lelaki warga tempatan berumur 38 tahun telah ditahan di kawasan Inanam bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kejadian itu turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, termasuk penyebaran spekulasi yang tidak sahih berkaitan suspek.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh mengganggu siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi, kenyataan tidak sahih atau kandungan mengelirukan di media sosial kerana tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian,” katanya.
Syed Lot berkata, Polis Diraja Malaysia komited memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara dan akan terus mempergiatkan rondaan pencegahan jenayah di kawasan terlibat.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Katanya, kerjasama orang awam amat penting dalam memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar serta menjaga ketenteraman awam.






























