Lokasi serpihan tulang mangsa yang dibakar ditemukan di Kampung Kipaliu, Ranau.
RANAU: Penemuan serpihan tulang manusia yang telah dibakar merungkai misteri kehilangan seorang lelaki berusia 68 tahun yang dikatakan hilang pada 16 April lalu.
Mangsa dipercayai dibunuh oleh anak saudaranya berusia antara 48 hingga 50 tahun yang telah ditahan di Kampung Kipaliu, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Simiun Lomudin berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 10 pagi kelmarin tidak jauh dari lokasi kejadian.
Beliau berkata, penahanan itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga mangsa semalam kira-kira pukul 9.43 malam.
Pengadu memaklumkan telah menemukan serpihan tulang disyaki tulang manusia yang telah dibakar di kawasan hutan belakang sebuah rumah tidak bernombor, dipercayai milik bapa saudaranya yang hilang sejak 16 April.
“Kesemua serpihan tulang yang dijumpai dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk tujuan analisa perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah di talian 088-875222.


































