Tangkap layar yang diambil daripada satu rakaman CCTV yang tular menunjukkan seorang wanita menyimbah sejenis cecair ke arah mangsa dalam sebuah lif di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
BALIK PULAU : Lelaki kurang upaya yang pada mulanya disangka melecur pada anggota badan selepas terkena simbahan cecair dipercayai asid oleh seorang wanita dalam lif rupanya terkena simbahan air panas.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, perkara tersebut disahkan sendiri oleh seorang pegawai perubatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang memeriksa keadaan pemuda yang menghidap Sindrom Down itu.
Katanya, mangsa yang berusia 33 tahun bagaimanapun kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital berkenaan.
“Laporan polis sebelum itu telah dibuat oleh salah seorang ahli keluarga mangsa yang mendakwa lelaki berkenaan telah disimbah asid oleh seorang wanita semasa berada di dalam lif sebuah pangsapuri iaitu tempat mereka tinggal.
“Pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital kemudian mendapati bahawa mangsa melecur pada bahagian belakang dan depan badan sebelah kanan akibat dicurah dengan air panas,” katanya di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintenden Jafri Md. Zain ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Difahamkan, identiti suspek kini telah dikenal pasti dan polis sedang mengesan wanita terbabit untuk membantu siasatan.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 20 saat yang diambil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang wanita menyimbah sejenis cecair ke arah mangsa dalam sebuah lif di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, dekat sini sejak petang kelmarin.
































