KUALA PILAH: Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Gentam, di sini, meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa, pagi kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab, kira-kira pukul 8 pagi, pelajar tersebut iaitu Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, berasal dari Nilai, Seremban telah terlibat dalam kejohanan merentas desa peringkat sekolah melibatkan jarak tujuh kilometer bersama dengan kira-kira 700 orang pelajar lain.
“Setelah acara larian dimulakan, pelajar berkenaan telah memulakan larian merentas desa sepanjang tujuh kilometer dan kira-kira pukul 9.30 pagi semasa menghampiri garis penamat sekitar 50 meter, pelajar tersebut telah rebah dan tidak sedarkan diri.
“Guru yang ada telah memberikan bantuan pernafasan tetapi pelajar tersebut tidak memberikan sebarang tindak balas. Kemudian pihak sekolah telah menghubungi nombor 999 dan ambulans dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah tiba dan memberikan bantuan kira-kira 10 minit,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.
Ujar Syahrul Anuar lagi, pelajar berkenaan telah dibawa menaiki ambulans untuk ke Unit Kecemasan HTAN dan kira-kira pukul 10.15 pagi dan setelah hampir sejam memberikan bantuan pelajar tersebut bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia.
Menurutnya, berdasarkan keterangan bapa pelajar berkenaan yang berusia 43 tahun, pada tahun 2016, pelajar tersebut telah disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.
“Pelajar berkenaan mempunyai kad rawatan bagi penyakitnya itu dari Institut Jantung Negara (IJN) dan sentiasa dibekalkan dengan ubat-ubatan daripada IJN pada setiap masa,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat sebagai mati mengejut.
Sementara itu, keluarga pelajar berkenaan yang ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik, HTAN memberitahu masih terkejut dan bersedih dengan kejadian itu.
Menurut wakil keluarga, jenazah bakal dikebumikan di Nilai selepas urusan di HTAN selesai.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid yang hadir melawat keluarga meminta pengguna media sosial tidak menularkan maklumat yang salah mengenai kejadian berkenaan.
“Ibunya memaklumkan kepada saya, anaknya suka nak buat perkara itu (merentas desa) dan apabila bersama kawan-kawan, dia (pelajar berkenaan) terlupa dia sakit, saya harap perkara ini tidak ditularkan dengan salah.
































