Ramli menunjukkan set komputer dan telefon bimbit yang dirampas pada sidang media yang diadakan di Menara KPJ Kuala Lumpur kelmarin.
KUALA LUMPUR: Kes jenayah penipuan dalam talian pada musim perayaan mencatatkan 871 kes dengan nilai kerugian mencecah RM37.2 juta dari 1 hingga 14 April lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada 871 kes yang dicatatkan, jenayah telekomunikasi mencatatkan kes tertinggi dengan 342 kes, diikuti jenayah e-dagang dengan 217 kes.
Katanya, sebanyak 157 kes bagi pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak wujud (112 kes), jenayah e-kewangan (29 kes) dan love scam (14 kes).
“Jumlah ini bagaimanapun adalah lebih rendah berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 1,465 kes dan nilai kerugian RM56.7 juta.
“Secara kesimpulannya, sambutan perayaan dilihat tidak memberikan pengaruh yang signifikan terhadap peningkatan kadar jenayah dalam talian dan JSJK tidak menolak kemungkinan tahap kesedaran yang semakin baik dalam kalangan masyarakat bagi aspek pencegahan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, kelmarin.
Mengulas lanjut, kata Ramli, bagi tahun ini sehingga 14 April, JSJK merekodkan 8,913 kes jenayah komersial melibatkan nilai kerugian RM835 juta berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 10,010 kes dan nilai kerugian RM504 juta.
“Kes bagi tahun ini telah mencatatkan penurunan sebanyak 11 peratus, namun nilai kerugian mencatatkan kadar peningkatan yang cukup besar iaitu 66 peratus,” ujarnya.
Tambahnya, dari aspek pertuduhan, sejumlah 4,541 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah sepanjang tempoh terbabit.
“Jumlah ini adalah bersamaan 51 peratus daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka pada tahun ini.
“Peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 4,331 pertuduhan atau bersamaan 43 peratus,” katanya.


































