Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Kerajaan akan memantau lebih dekat setiap agensi penguatkuasaan bagi mengelak daripada terus terpalit isu kecurangan melibatkan isu ketirisan, rasuah dan salah laku dalam kalangan penjawat awam.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengakui masih ada segelintir penguat kuasa dikesan masih mengamalkan amalan rasuah serta salah guna kuasa.
“Ini peringatan kepada badan penguatkuasaan bukan sahaja Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan kita sedang pantau dari dekat.
“Saya harap sangat supaya kita dapat elakkan laporan-laporan kecurangan (ketirisan) ini, kerana majoriti itu memang hasrat untuk buat kebaikan tapi kadang-kadang hidup dalam budaya sakau, jadi dia (penguat kuasa) pun terpaksa ambil.
“Saya harap sangat kita dapat mengelakkan laporan kecurangan ini kerana majoriti (penjawat awam) berhasrat (dan menginginkan) kebaikan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di sini semalam.
Dalam masa sama, Anwar turut menghargai tindakan pantas diambil Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin melalui tindakan serius terhadap mereka yang terlibat dalam isu rasuah.
“Saya ucap tahniah kepada Ketua Pengarah Kastam sebab dia tidak melihat dari segi negatif tetapi terus ambil tindakan, tukar, ambil tindakan disiplin dan sebagainya.
“Jadi jangan biarkan sekelumit ini mencacatkan imej perkhidmatan awam, kalau ada tindakan seperti dilakukan Ketua Pengarah Kastam, saya ucap tahniah,” katanya.
Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota kastam di Kargo KLIA mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lalu.
Katanya, setakat ini seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.
Anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.
Sementara itu, Perdana Menteri menempelak tindakan segelintir ahli Parlimen yang mempertikai usaha kerajaan melaksanakan perubahan termasuk dalam penyasaran subsidi serta skim pencen.
Anwar berkata, ada ahli Parlimen yang mempersoalkan usaha itu kerana ada yang mendakwa dalam kalangan mereka terdiri daripada golongan B40.
“Islam menganjurkan perubahan dan kemajuan, Islam anjur integriti dan tata kelola yang baik tetapi Islam dibicarakan, apabila kita sebut tata kelola amalan sakau, dia sangsi.
“Ada ahli Parlimen kata kenapa nak perubahan, apabila (kita buat) penyasaran subsidi dan perubahan sistem pencen, dia kata tak boleh kerana ahli Parlimen ada yang B40. Itu cakap apa? Gaji puluh ribu dengan elaun, masih B40. Dia ini cakap dari benua mana?” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan sentiasa berusaha melakukan terbaik untuk kesejahteraan rakyat terutama dalam menangani isu kos sara hidup, menentang ‘kartel’ selain memaksa supaya harga beras import diturunkan.
“Saya tidak katakan saya sudah sempurna, saya juga ada kelemahan tetapi saya cuba sedaya upaya untuk memperbetulkan kesilapan lampau dan memang bukan mudah kerana serangan daripada tauke besar, orang yang dah kumpul kekayaan berbilion (ringgit) itu kuat, dia pengaruhi media sosial, boleh beli ramai orang dalam Facebook atau TikTok.
“Tetapi saya kata tiada makna saya jadi ketua dan pemimpin kalau saya tak sanggup hadapi risiko itu kerana saya nak selamatkan negara daripada amalan curang.
“Saya yakin Malaysia dengan kekuatan Melayu, Cina, India, Dayak semuanya kalau (dalam) semangat kesatuan, hindari api perkauman, agama yang sempit, kita boleh maju,” katanya.