Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) membidas tindakan MAWAR Channel yang didakwa menyiarkan tulisan dan poster mengelirukan berhubung Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kandungan tersebut mengandungi dakwaan tidak benar serta berniat membentuk persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Menurutnya, dakwaan kononnya ammonia dan urea dari Sabah dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk diproses menjadi baja adalah tidak tepat dan menunjukkan kegagalan memahami operasi sebenar loji SAMUR.
“Loji SAMUR di Sipitang merupakan antara pengeluar baja urea terbesar di Asia Tenggara dan menghasilkan produk baja siap sepenuhnya di Sabah sebelum dipasarkan ke pasaran domestik dan antarabangsa berdasarkan pertimbangan komersial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa kesal apabila poster berkenaan menggunakan imej Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dalam bahan berunsur politik yang disifatkan sebagai tidak wajar.
Katanya, institusi TYT Sabah perlu dihormati dan tidak sepatutnya diperalatkan dalam propaganda politik bagi membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa kandungan disiarkan MAWAR Channel akan dirujuk kepada pihak peguam untuk tindakan undang-undang.
“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk memfitnah atau memanipulasi fakta sehingga mencemar nama baik pemimpin dan institusi negeri,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Sabah kini mempunyai kepentingan langsung dalam loji SAMUR melalui pegangan 25 peratus ekuiti oleh SMJ Energy, sekali gus menjadikan negeri ini rakan strategik dalam aset tersebut.
Katanya, pegangan itu memberi manfaat kepada Sabah melalui pulangan keuntungan, dividen serta hasil komersial yang boleh disalurkan semula untuk pembangunan negeri, penciptaan pekerjaan dan pengukuhan ekonomi rakyat.
Selain itu, penglibatan wakil SMJ Energy dalam struktur tadbir urus syarikat turut membuka ruang kepada Sabah memainkan peranan lebih besar dalam hala tuju industri strategik.
Beliau menolak tuduhan bahawa Sabah tidak mendapat manfaat daripada industri minyak dan gas, sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai usaha mengelirukan rakyat.
“Pembangunan industri petrokimia dan minyak dan gas melibatkan pelbagai faktor seperti pasaran, modal, teknologi serta jaringan perdagangan antarabangsa, bukan sekadar dinilai melalui sentimen,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyindir pihak yang mengangkat Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, sebagai tokoh paling tegas mempertahankan hasil Sabah.
Katanya, ketika memegang jawatan Ketua Menteri, pendekatan tersebut tidak diterjemahkan sepenuhnya kepada model pemilikan atau penyertaan komersial besar yang benar-benar mengukuhkan kedudukan Sabah dalam aset strategik minyak dan gas.
“Mudah untuk bercakap selepas tidak lagi berada dalam kerajaan, namun ketika diberi mandat, pendekatan itu tidak dimuktamadkan dalam bentuk pulangan komersial nyata kepada negeri,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat perlu menilai berdasarkan pencapaian dan hasil, bukan sekadar slogan politik atau nostalgia kepimpinan lalu.
Menurutnya, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited memperkukuh penyertaan Sabah dalam keseluruhan rantaian nilai industri minyak dan gas secara berperingkat, realistik dan berimpak kepada negeri.
“MAWAR Channel boleh terus memainkan sentimen, namun rakyat berhak mengetahui fakta sebenar. GRS memilih untuk bekerja dan menghasilkan keputusan,” katanya.
Beliau turut menggesa MAWAR Channel menarik balik tulisan dan poster tersebut serta memohon maaf atas penggunaan imej TYT Sabah dalam propaganda politik.
Tegasnya, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya dakwaan fitnah terus disebarkan bagi mempertahankan kebenaran dan maruah kepimpinan negeri.
“Sabah tidak akan maju dengan politik fitnah, sebaliknya melalui kestabilan politik, kebijaksanaan mengurus aset strategik dan kepimpinan berasaskan hasil,” katanya.
































