Yang di-Pertua Negeri, Tun (Dr.) Musa Aman menyampaikan Anugerah Kepimpinan Sepanjang Hayat Hijau dan Kelestarian Dunia kepada Presiden Persatuan Kayu-Kayan Sabah, Norman Wong sambil disaksikan Hajiji dan tetamu kenamaan lain.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus bertindak sebagai penjaga yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar Sabah, sambil tegas melindungi masa depan ekonomi rakyat.
“Ini keseimbangan yang Sabah cari. Inilah masa depan yang sedang kita bina,” katanya pada Sidang Kemuncak Hijau dan Kelestarian Dunia (WGSS) di Shangri-La Tanjung Aru Resort di sini hari ini.
Beliau berkata, Sabah menyokong sepenuhnya tenaga boleh diperbaharui serta perlindungan alam sekitar yang lebih kukuh, namun menegaskan negeri ini masih merupakan ekonomi yang sedang membangun.
“Kita sedang memperkukuh infrastruktur, memperluas kapasiti perindustrian, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan keselamatan tenaga untuk pertumbuhan jangka panjang. Pendirian kita jelas,” katanya.
Hajiji berkata, tenaga bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi juga isu ekonomi serta keselamatan jangka panjang Sabah, justeru campuran tenaga yang seimbang dan praktikal amat penting.
“Tenaga boleh diperbaharui jelas menjadi sebahagian masa depan kita. Solar, hidro, biojisim, biogas dan teknologi bersih lain perlu terus diperluaskan sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju tenaga jangka panjang Sabah.
“Pelan Induk dan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 menekankan tenaga yang boleh dipercayai, mudah diakses, mampu milik dan mampan termasuk meningkatkan margin rizab penjanaan, memperbaiki campuran tenaga serta meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Hajiji turut membangkitkan persoalan sama ada Sabah menerima nilai ekonomi yang adil bagi tanggungjawab besar alam sekitar yang dipikulnya untuk negara.
“Ini bukan persoalan mementingkan diri, tetapi persoalan yang adil. Pemuliharaan sering dilihat sebagai tanggungjawab moral, dan sememangnya kita memikul tanggungjawab itu dengan serius. Namun pemuliharaan juga mempunyai kos ekonomi.
“Apabila tanah dipelihara, terdapat kos peluang. Apabila hutan dilindungi, terdapat hasil yang terlepas. Apabila ekosistem menyerap karbon dan menyokong biodiversiti, nilai yang terhasil bukan sahaja memberi manfaat kepada Sabah, tetapi juga kepada Malaysia, rantau ini dan dunia,” katanya.
Beliau menegaskan, agenda kelestarian yang semakin berkembang perlu turut menangani isu keadilan.
“Ia mesti melibatkan nilai yang adil, pengiktirafan yang adil, pelaburan yang adil dan penyertaan yang adil.
“Sabah tidak boleh terus dilihat hanya sebagai penyumbang modal semula jadi, sebaliknya mesti menjadi penerima manfaat daripada kekayaan tersebut,” katanya.
Beliau menambah, Sabah mampu membuktikan bahawa sebuah negeri sedang membangun tidak perlu memilih antara melindungi alam sekitar dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kita boleh melakukan kedua-duanya, tetapi mesti dilaksanakan dengan cara yang sesuai untuk Sabah,” katanya.




























