Dr. Joachim (duduk) bergambar bersama rombongan Badan Penyelaras KDCA Ranau yang diketuai diketuai Evelyn.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Pengerusi KDCA Ranau, menerima kunjungan hormat Badan Penyelaras KDCA Ranau sempena sambutan Pesta Kaamatan tahun ini.
Kunjungan yang diketuai Setiausahanya, Evelyn Masutin itu merupakan antara aktiviti tahunan menjelang perayaan Kaamatan.
Menurut Evelyn, kunjungan berkenaan bertujuan mengeratkan silaturahim selain menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Dr. Joachim dalam memperkasa sambutan Kaamatan di negeri ini.
“Setiap tahun menjelang Pesta Kaamatan, kami akan mengadakan kunjungan hormat kepada beliau.
“Kebetulan tahun ini beliau juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Kaamatan Peringkat Negeri Sabah,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Dr. Joachim atas pelantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti.
Evelyn berkata, pihaknya yakin pengalaman dan kepimpinan Dr. Joachim akan terus menyumbang kepada kejayaan sambutan Kaamatan serta pembangunan masyarakat di Sabah.
Sementara itu, Dr. Joachim menghargai kunjungan tersebut dan berharap persiapan KDCA Ranau di rumah tradisi Ranau bagi sambutan Kaamatan pada 30 dan 31 Mei berjalan lancar.
Beliau turut berharap sambutan itu berlangsung meriah serta terus menjadi platform memperkukuh perpaduan dan memelihara warisan budaya masyarakat Kadazandusun dan Murut di negeri ini.
Katanya, semangat kebersamaan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum perlu terus dipupuk selaras dengan semangat Kaamatan sebagai simbol perpaduan rakyat Sabah.




























