Japlin dan Sumardi bergambar bersama barisan pengurusan CIS.
KOTA KINABALU: Pesta Kaamatan bukan sekadar sambutan budaya masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR), malah telah berkembang sebagai simbol perpaduan rakyat Sabah yang diraikan bersama oleh semua kaum di negeri ini.
Pengerusi Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. (CIS), Datuk Japlin Akim berkata, semangat kebersamaan yang dizahirkan menerusi sambutan Kaamatan mampu merapatkan silaturahim, memupuk persefahaman serta mengukuhkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Menurutnya, Sabah telah lama menjadi contoh terbaik dalam mengamalkan kehidupan harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
“Keunikan rakyat Sabah terletak pada semangat kekeluargaan dan toleransi yang diamalkan sejak dahulu lagi. Justeru, sambutan seperti Kaamatan diraikan bersama tanpa mengira kaum dan agama.
“Kaamatan bukan sahaja menyatukan masyarakat, malah menjadi platform terbaik mengeratkan hubungan antara pekerja dan majikan melalui pelbagai program kemasyarakatan, kebudayaan dan aktiviti kebersamaan,” katanya ketika berucap pada sambutan Pesta Kaamatan bersama kakitangan CIS di Sepanggar, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Kelab Sosial dan Rekreasi Kakitangan CIS (CISRA) dan turut dihadiri Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd. Yusof, Pengurus Operasi Kilang, Ir. Rajesh Yusof, Pengurus Kanan Kualiti, Alimat Anuar Salam, Pengurus Kanan Sumber Manusia, Ezrie Ag. Raini, serta barisan pengurusan dan kakitangan syarikat.
Japlin berkata, hubungan baik antara pekerja dan majikan amat penting dalam mewujudkan suasana kerja yang harmoni, produktif dan saling menghormati.
Beliau menambah, nilai perpaduan, toleransi dan saling menghargai yang diterapkan menerusi sambutan Kaamatan perlu terus dipelihara bagi memastikan kestabilan sosial serta kemajuan Sabah dapat dinikmati bersama.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat agar terus memperkukuh semangat perpaduan serta mengekalkan budaya hormat-menghormati yang menjadi kekuatan utama rakyat Sabah.




























