PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan ‘swinger’ yang beroperasi secara dalam talian.
Kegiatan kumpulan ‘swinger’ itu yang melibatkan aktiviti suami isteri bertukar-tukar pasangan telah dikesan susulan aduan daripada orang ramai dan pemantauan MCMC.
Menurut Utusan Malaysia, MCMC dalam kenyataan memaklumkan, mereka turut didapati menjual bahan lucah bagi meraih keuntungan.
“Modus operandi suspek adalah memuat naik klip video pendek melalui platform X dan individu yang berhasrat mendapatkan video berdurasi penuh, dikenakan bayaran sebanyak RM100 ke RM400 bagi mendapatkan pautan ke aplikasi Telegram,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut MCMC, kegiatan itu tumpas menerusi operasi dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan MCMC dan PDRM di Kedah dan Johor baru-baru ini yang menemukan kumpulan ‘swinger’ yang memiliki sejumlah besar video lucah.
“Hasil serbuan, telefon bimbit, komputer dan thumbdrive milik suspek telah dirampas untuk siasatan lanjut.
“Tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 39 hingga 50 tahun didapati bertindak sebagai pentadbir (admin) bagi platform X kumpulan ‘swinger’ berkenaan,” katanya.
Menurut MCMC, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian yang bertentangan dengan undang-undang di negara ini,” kata kenyataan itu.