Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri senada dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya tindakan segera diambil bagi pihak yang cuba menghasut rakyat terutama berkait isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri hari ini juga bersetuju supaya aspek penguatkuasaan diberi perhatian utama serta disegerakan susulan tiga insiden serangan ke atas premis KK Mart baru-baru ini.
Beliau berkata, Jemaah Menteri juga menjunjung kasih perkenan Tuanku untuk menerima menghadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan bagi menyembah permohonan maaf.
“Jemaah Menteri juga mengambil maklum bahawa Pengasas KK Mart diperkenan menghadap Tuanku dan telah menyembah permohonan ampun,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Katanya, isu mengenai insiden ketiga membabitkan serangan terhadap premis KK Mart tidak dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
Media hari ini melaporkan, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, mengadap Sultan Ibrahim bagi memohon maaf berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Kee Kan selama 15 minit di Istana Negara, hari ini.
Pada pertemuan itu, baginda bertitah semua pihak termasuk KK Mart perlu lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelak perkara sedemikian berulang.




























