Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kempen membaca harus dimulakan di peringkat awal bagi melahirkan generasi mencintai ilmu untuk menyaingi kemunculan budaya sosial baharu yang membimbangkan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap kemunculan budaya sosial baharu termasuk ketidakupayaan berfikir lebih tiga minit.
Malah kata Perdana Menteri, beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap sikap membaca dalam kalangan rakyat sejak menjadi Menteri Pendidikan.
“Pengkritik telah melahirkan kebimbangan kemunculan budaya sosial baharu, dengan singkatan-singkatan, ketidakupayaan berfikir lebih tiga minit, ia berbahaya.
“Kita hendak lahirkan insan dan manusia ini dengan karamah insaniah dengan keyakinan, ilmu dan nilai serta akhlak yang tidak selesai dalam tiga minit.
“Jadi harus usaha yang lebih, seperti saya pernah gesa seperti ketika dahulu, agar ada majlis menggalakkan anak-anak membaca,” katanya dalam Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, budaya kempen membaca bukan sahaja memberikan buku, tetapi dapat memberikan kupasan karya-karya berkenaan.
“Harus kembali kepada cara lebih klasik, beri buku dan buka halaman 20, kupas sikit dan buka halaman.
“Saya fikir cara ini anak-anak lebih minat seperti mana diolah oleh Saidina Ali Abi Talib iaitu kecintaan ilmu sangat mendalam,” katanya.


































