IPOH: Lima laporan diterima polis Perak berkaitan kes gangguan seksual melibatkan doktor pelatih di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kesemua laporan itu diterima daripada doktor yang dinamakan dalam surat layang berkenaan.
“Setakat ini, tiada laporan diterima daripada doktor pelatih yang dikatakan sebagai mangsa dalam kejadian itu.
“Jadi, kita minta kepada mereka yang terlibat dalam kes ini agar tampil membuat laporan sekali gus membantu pihak polis menjalankan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Pencegahan Jenayah Komersil ‘Phone Scam’ anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak dan Pos Malaysia Berhad, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan berkaitan penularan surat layang mengandungi dakwaan beberapa doktor pelatih wanita di Jabatan Ortopedik HRPB yang dikatakan sering diganggu secara seksual oleh seorang doktor lelaki.
Susulan penyebaran surat layang itu, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Penyiasatan Bebas bagi menyiasat dakwaan berkenaan.
Jawatankuasa disertai pegawai-pegawai yang dilantik oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM itu ditubuhkan sehari selepas JKN menerima surat layang tersebut pada 28 Februari lalu.


































