Fadhlina Sidek
SHAH ALAM: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi amaran mana-mana guru atau kakitangan sekolah yang terbabit dengan kesalahan gangguan seksual terhadap murid akan dipecat dan didakwa.
Menegaskan perkara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) komited menyediakan sekolah sebagai tempat paling selamat selepas rumah terutamanya daripada gangguan seksual yang boleh menghancurkan masa depan seseorang murid.
“You touch, you go (kamu sentuh, kamu pergi),” katanya berucap pada Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Fadhlina berkata isu gangguan sememangnya dekat dengan KPM, malah beliau sendiri pernah bertemu dengan mangsa yang turut membabitkan murid di institut agama.
“Saya sendiri pernah bertanya kepada seorang murid sebuah sekolah agama menyaksikan murid itu mengalami gangguan seksual daripada guru di sekolah berkenaan.
“Saya tanya murid itu, mengapa dia tidak buat laporan (kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa). Murid itu beritahu yang gurunya tidak akan memberkati (ilmu yang telah diberikan kepada murid berkenaan),” katanya.
Disebabkan kes tersebut, menurut Fadhlina, beliau mengambil inisiatif memperkenalkan program ‘Sekolah Selamat’ serta memperkenalkan garis panduan pengendalian jenayah seksual di sekolah.
Selain murid perempuan, ujarnya, murid lelaki juga perlu dilindungi daripada penjenayah seksual kerana murid lelaki juga turut menjadi sasaran golongan itu.
“KPM sedang berusaha untuk mengatasi masalah ini daripada terus berlaku.
“Apa yang penting ketika ini adalah semua warga KPM perlu bekerjasama untuk memastikan ekosistem sekolah perlu dipelihara daripada segala anasir gangguan seksual, bagi memastikan murid dapat belajar dengan selamat dan selesa,” tegasnya.


































