Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor sentiasa fokus dan sedaya upaya menyelesaikan masalah yang diwarisi selama berdekad-dekad walaupun hanya berusia tiga tahun dan menghadapi pelbagai rintangan termasuklah pandemik Covid-19 dan peristiwa kudeta pihak yang ingin menjadi kerajaan pintu belakang.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, berbagai tindakan dan pendekatan telah diambil malah ada yang telah dirasai sementara yang lain sedang menyusul untuk disiapkan.
“Alhamdulillah, setakat ini Kerajaan GRS-PH Plus pimpinan Hajiji telah menunjukkan petanda yang positif dari semua aspek perjuangan sama ada dari segi peningkatan ekonomi negeri, perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 dan langkah-langkah penyelesaian isu legasi kemudahan asas yang berdekad.
“Kita juga berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar kerana sentiasa memahami keperluan Sabah dan bersama dengan perjuangan Kerajaan Sabah pimpinan Hajiji,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam berkata, Kerajaan GRS-PH Plus tidak menuding jari pada mana-mana pihak berkaitan masalah kemudahan asas negeri yang masih daif, akan tetapi hanya memulangkan paku buah keras kepada sikap pemimpin parti pembangkang di Sabah seperti Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohammed yang kerap menuding jari pada masalah kemudahan asas yang sedang dihadapi rakyat sebagai kegagalan Kerajaan Sabah hari ini.
“Sikap pemimpin pembangkang seperti ini yang sentiasa menuduh Kerajaan hari ini sebagai kerajaan gagal seolah mengesahkan andaian bahawa pemimpin pembangkang ini tidak ikhlas untuk memajukan Sabah dan terlalu kuat bermain politik dengan berusaha mensabotaj segala langkah penyelesaian oleh Kerajaan ke atas masalah legasi yang berdekad ini.
“Menuding jari pada Kerajaan hari ini sebagai kerajaan gagal, membawa erti bahawa Kerajaan tidak berbuat apa-apa, sedangkan berbagai tindakan dan pendekatan telah diambil malah ada yang telah dirasai sementara yang lain sedang menyusul untuk disiapkan,” katanya.
Nizam berkata, memang tidak dinafikan bahawa sebahagian pemimpin Kerajaan hari ini adalah daripada kerajaan lalu, namun, walaupun parti yang memimpin Kerajaan Sabah di waktu itu adalah parti tunjang dari Semenanjung yang sangat dominan namun Sabah selalu berasa dipinggirkan kerana agihan dana pembangunan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan tidak memenuhi keperluan sebenar pembangunan di Sabah yang besar.
“Masih banyak isu kemudahan asas di Sabah tidak dapat diselesaikan.
“Atas kesedaran kepada kelemahan itulah maka sudah sampai masa untuk pemimpin dan rakyat Sabah bersatu-padu untuk meneruskan perjuangan membela nasib dan hak rakyat Sabah dalam wadah parti tempatan kerana negeri ini adalah rumah kita maka rumah kita, kita lah yang menjaganya.
“Rakyat Sabah mesti bersatu dalam satu wadah tempatan dan mengelakkan perpecahan bagi menjaga kepentingan negeri serta rakyat Sabah, selain kepentingan nasional.”
Nizam menjelaskan, Sabah perlukan politik yang stabil untuk Kerajaan fokus melaksanakan agenda pembangunan negeri sesuai dengan Hla Tuju Sabah Maju Jaya.
Untuk menoktahkan punca kegagalan menaik taraf atau menyelesaikan kemudahan asas negeri, katanya, Kerajaan Sabah hari ini telah mengambil alih kawal selia tenaga, mendapatkan Jabatan Kerja Raya diiktiraf sebagai Jabatan Teknikal, pelaksanaan projek-projek Persekutuan di bawah RM50 juta selain menubuhkan tabung amanah bagi peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan agar keadaan lalu tidak berulang.
“Kerajaan GRS-PH Plus bekerja keras untuk mengukuhkan kestabilan politik dan perpaduan di Sabah. Perjuangan untuk memajukan rakyat dan membangunkan negeri Sabah menjadi keutamaan dan wajib dilaksanakan.
“Kerajaan Sabah hari ini berada di landasan yang tepat untuk terus membawa pembangunan demi kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya.


































