CYBERJAYA: Kerajaan mahupun Kementerian Komunikasi tidak mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana akaun atau kandungan di aplikasi TikTok.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, aplikasi media sosial itu bukan hak milik kerajaan dan jika sesuatu kandungan diturunkan sekalipun ia bukan di bawah arahannya.
Beliau berkata, jika Suruhanjaya Multimedia Malaysia (MCMC) yang memohon supaya kandungan itu diturunkan sekali pun, kuasa sebenar masih tertakluk kepada platform aplikasi media sosial itu.
“Sebagai contoh, walaupun TikTok diminta untuk menurunkan sesuatu kandungan tetapi tidak semestinya platform itu akan menurunkannya.
“Jika kandungan itu diturunkan sekali pun, ia tidak akan dimaklumkan kepada kami (MCMC),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran E-Farmasi: Penyelesaian Digital untuk Pusat Penjagaan Kesihatan Generasi Seterusnya di Universiti Mutimedia, di sini, kelmarin.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat Rabu, melahirkan rasa tidak puas hati dengan jawapan diberikan Fahmi mengenai isu sekatan kandungan TikTok itu.
Fahmi berkata, Radzi beranggapan seolah-olah beliau tidak menjawab soalan diberikan mengenai beberapa kandungan yang dimuat naik telah disekat.
“Di dalam Dewan sewaktu kita menggulung kebiasaannya bersifat dinamik walaupun ditanya empat atau lima soalan kadang-kadang jarang dijawab semuanya.
“Beliau (Radzi) mungkin masih berasa panas hati dan beliau juga sudah membuat TikTok baharu, maka saya mengambil kesempatan ini untuk jelaskan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, kerajaan mahupun kementeriannya belum berhasrat mewujudkan akta bagi mengawal selia platform media sosial di negara ini.
“Setakat ini saya tidak umumkan sebarang niat untuk gubal satu akta bagi tujuan regulasi atau kawal selia media sosial di negara ini,” katanya.


































