Rafizi Ramli semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. – Gambar Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kemiskinan tegar di Sabah direkodkan enam kali ganda atau pada kadar 1.2 peratus berbanding kadar nasional sebanyak 0.2 peratus.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, rekod itu berdasarkan Laporan Tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022, menunjukkan kadar kemiskinan tegar di lapan daerah di negeri itu adalah lebih tinggi berbanding kadar nasional.
Menurut beliau, Tongod mencatat kadar kemiskinan tegar tertinggi iaitu 5.9 peratus diikuti Beluran iaitu 5 peratus, Pitas (4.8 peratus), Kinabatangan (4.6 peratus), Kota Marudu (4 peratus), Tuaran (2.6 peratus) serta Ranau dan Lahad Datu masing-masing 2.4 peratus.
Beliau berkata demikian semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung jumlah keseluruhan miskin tegar di Malaysia dan lapan daerah di Sabah dikategori termiskin di Malaysia serta inisiatif dan bantuan yang diberi kepada mereka.
Rafizi berkata, jurang perbezaan tersebut dilihat besar kerana kadar kemiskinan tegar di seluruh negara berkurang daripada satu peratus pada 2020, kepada 0.2 peratus bersamaan 18,445 isi rumah pada 2022.
Kerajaan Persekutuan bincang dengan Kerajaan Negeri
Sehubungan itu, katanya, kerajaan meluncurkan Pangkalan Data Utama (PADU) bagi mengenal pasti mereka yang layak diberi bantuan dan perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah juga diadakan.
“Apabila kerajaan selesai dengan PADU dan petakan banyak tempat yang sebelum ini tercicir, ini akan membolehkan banyak keluarga miskin tegar di Sabah dan tempat lain mula mendapat bantuan, bukan sahaja bantuan tunai tapi program untuk anak-anak mereka seperti TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional),” katanya.
Katanya, tumpuan di Sabah ketika ini ialah mewujudkan peluang pekerjaan melalui pertanian bersepadu, misalnya menerusi projek Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN).
Katanya, Sabah sangat terkehadapan dalam memberi tanah untuk diusahakan, menyaksikan 390 keluarga miskin tegar mengusahakan 203.96 hektar tanah di lapan daerah di Sabah melibatkan tanaman seperti nanas, cili fertigasi, jagung dan kacang soya.
“Kalau dilihat kepada prestasi IPR-INTAN di tempat lain, pendapatan bulanan bagi tuaian pusingan pertama RM2,200 hingga RM5,600 sebulan. Kalau kita berjaya ulangi ini di Sabah, maksudnya setiap keluarga miskin tegar yang sertai inisiatif ini dalam tempoh dua tahun boleh keluar daripada miskin tegar,” katanya.


































