Azalina Othman Said
PETALING JAYA: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Digital 2023 (DSA) akan membolehkan kerajaan selangkah di hadapan dalam mendepani isu berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Udang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, draf kerja bagi DSA telah berjaya dirangka oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM.
Justeru, beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Cadangan Penggubalan Undang-undang Baharu Berkaitan Dengan Kemudaratan Jenayah Dalam Talian Bil 2/2024 bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah dipengerusikannya di Parlimen. semalam.
“Ia adalah titik permulaan bagi menggerakkan inisiatif penggubalan RUU tersebut dengan kadar segera selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran.
Menurut Azalina, pada mesyuarat tersebut, beliau menekankan betapa pentingnya kewujudan satu prosedur perundangan yang khusus untuk menangani cabaran sedang dialami dan bakal timbul seiring dengan kemajuan teknologi.
“Teknologi AI yang semakin maju akan terus berkembang, maka kita sewajarnya membuat persiapan dari sekarang agar kita dapat ‘stay one step ahead’ (selangkah di hadapan) dalam perkara ini,” katanya.
Pada Jun tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Malaysia akan menggubal RUU berkaitan keselamatan siber usaha negara menangani ancaman keselamatan siber yang semakin mencabar.
Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara memutuskan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), bertindak sebagai agensi utama untuk menggembleng usaha merentas pelbagai entiti kerajaan serta pihak industri berkait keselamatan siber.


































