Penduduk Thailand dijangka menurun daripada 66 juta kepada 33 juta orang dalam tempoh 60 tahun.
BANGKOK: Jumlah penduduk Thailand diramal merosot daripada 66 juta kepada 33 juta orang dalam tempoh enam dekad akan datang.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri Thailand, Somsak Thepsutin memberi amaran itu semasa mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berhubung isu membendung kehamilan remaja.
Somsak memetik data statistik yang dikeluarkan oleh Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC).
Lapor thethaiger.com, Somsak mendedahkan penurunan mengejutkan dalam kadar kesuburan daripada 6.29 pada tahun 1970 kepada 1.08 pada tahun lalu.
“Jumlah bayi yang baru lahir di Thailand merosot di bawah 500,000 setiap tahun, sangat berbeza dengan lebih sejuta kelahiran yang direkodkan pada 1970.
“Unjuran NESDC memaparkan gambaran yang negatif, dengan meramalkan populasi meningkat 67.19 juta pada 2028, diikuti penurunan secara berperingkat kepada 66.18 juta menjelang 2037.
“Majlis itu juga menjangkakan kemerosotan berterusan demografi umur bekerja, menjunam daripada 66.1 peratus pada 2017 kepada 56.8 peratus menjelang 2037,” katanya.
Krisis itu diburukkan lagi dengan penurunan yang bakal berlaku dalam bilangan wanita umur reproduktif, yang diunjurkan menjunam kepada 11.81 juta pada 2037 berbanding 14.2 juta pada 2017.
The Nation melaporkan lebih separuh daripada wanita dalam kategori berusia 30 hingga 44 tahun, menunjukkan tahap kesuburan yang merosot.
Somsak menganjurkan kempen bersasar yang ditujukan kepada wanita muda untuk meningkatkan kadar kelahiran.
Selain itu, beliau turut mencadangkan memanfaatkan teknologi perubatan dan melaksanakan dasar kondusif untuk memupuk kehidupan dan persekitaran kerja yang menyokong golongan wanita berusia lebih 30 tahun, dalam usaha meningkatkan kadar kelahiran anak.


































