Gambar mesin pemotong berputar.
WASHINGTON: Seorang lelaki dari Missouri didakwa cuba melakukan penipuan berkaitan insurans dengan membayar seorang individu tertentu untuk memotong kedua-dua kakinya.
Malah, lelaki itu mereka cerita kononnya dia kehilangan kakinya disebabkan kemalangan traktor.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, Pejabat Syerif Daerah Howell, Torey Thompson baru-baru ini menyiasat kes paling pelik dalam sejarah.
Pada November tahun lalu, lelaki berusia 60 tahun dari Willow Springs mendakwa kedua-dua kakinya terputus akibat kemalangan mesin pemotong berputar yang biasanya dipasang pada traktor.
“Jika luka ini disebabkan oleh mesin pemotong, darah pastinya akan berserakan. Saya pernah melihat jenis kemalangan seperti ini sebelum ini. Ia bukan seperti itu,” kata Thompson kepada Springfield News Reader.
Pegawai dan kakitangan perubatan yang dipanggil ke tempat kejadian juga hairan melihat luka pada kakinya.
Ketika siasatan, lebih banyak perkara aneh muncul apabila polis mendapati seorang lelaki Florida ada melawat mangsa dengan membawa kapak dan didakwa memotong kakinya.
Lelaki itu kemudian mendedahkan warga emas yang lumpuh berkenaan merangka rancangan untuk melakukan penipuan insurans.
“Oleh kerana lelaki itu belum memfailkan tuntutan dengan syarikat insurans, polis tidak boleh mendakwanya.
“Ia rancangan yang tidak dilaksanakan dengan baik, saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini,” kata Thompson.
Walaupun tidak boleh didakwa secara rasmi lelaki itu cuba melakukan penipuan insurans, polis sangat marah dengan kejadian itu kerana dianggap membazir masa.
Bagaimanapun, kecederaan lelaki itu sangat teruk sehingga pemenjaraan hampir mustahil dan polis memutuskan untuk membiarkan dia pulih di hospital.
Tidak lama kemudian, seorang saudaranya dilaporkan menemui kaki lelaki itu di dalam baldi yang disembunyikan dalam tayar dan menyerahkannya kepada penyiasat.
































