Ramai yang sudah biasa melihat video penstriman secara langsung yang gemar menggunakan gimik untuk menjual produk mereka.
Warganet di China baru-baru ini juga kelihatan lebih teruja dengan usaha e-dagang secara langsung yang lebih minimalis tetapi sangat pantas.
Dalam landskap pengaruh media sosial yang sibuk ini, Zheng Xiang Xiang menonjol sebagai antara pelopor penstriman yang tenang dan cekap tanpa perkara-perkara yang aneh atau keterlaluan.
Menurut Utusan Malaysia, pempengaruh media sosial China itu tular selepas berjaya mempromosikan produk dalam talian dan mengumpul kekayaan yang mengejutkan ramai.
Menerusi strim langsung di laman Douyin atau TikTok versi China, Xiang Xiang mampu meraih hasil jualan sebanyak 100 juta yuan (RM66.4 juta) dalam masa hanya tujuh hari sahaja.
Xiang Xiang sentiasa memakai gaun halter hitam yang serupa seperti dipakai oleh pelakon China, Gina Jin dalam filem No More Bets pada 2023.
Wanita cantik itu terkenal dengan caranya yang begitu bersahaja memperkenalkan setiap produk dalam masa hanya tiga saat.
Semasa siaran langsungnya, pembantu Xiang Xiang akan menyerahkan kotak berwarna oren yang mengandungi pelbagai barangan.
Dalam masa beberapa milisaat, dia mengambil setiap produk, memaparkannya secara ringkas pada kamera, menyebut harganya satu demi satu dan segera meletakkannya ke tepi.
Tiada sebarang upselling mahu pun penerangan lanjut tentang produk berkenaan diberikan.
Dalam tempoh yang sangat pantas itu puluhan produk dapat dipromosikan dan jika penonton berkelip, kemungkinan besar mereka pasti terlepas melihat salah satu item itu sepenuhnya.
Strim langsung Xiang Xiang juga terkenal dengan timbunan kotak Hermes di latar belakangnya namun produk yang dijual wanita itu semuanya berharga di bawah 10 yuan (RM6.64) sahaja.
Dengan populariti yang dikecapi Xiang Xiang, wanita hebat itu mampu menjual kira-kira 10 juta unit barangan harga rendah seperti pakaian, pakaian dalam, pengering rambut, penyangkut baju dan peralatan lain untuk memperoleh hasil lumayan.
Walaupun Xiang Xiang dianggap wajah baharu di laman sosial, dia sebenarnya sudah berkecimpung dalam perniagaan penstriman langsung sejak 2017 sebelum popularitinya mula melonjak beberapa bulan lalu.
Tiga hari selepas videonya tular, Xiang Xiang berjaya mengumpul sejuta pengikut dan kini jumlah itu meningkat lebih 530 juta di aplikasi Douyin.
Menurut Xiang Xiang, walaupun siaran langsungnya mungkin kelihatan sangat ringkas, tetapi banyak kerja keras dilakukan di sebalik setiap jualan.
Ramai pekerja terlibat hanya untuk menjayakan satu siaran langsung itu. Dalam satu video dikongsikan di akaunnya baru-baru ini, Xiang Xiang menunjukkan kepada penonton sebuah bilik besar tempat dia dan pasukannya menyimpan beriburibu kotak dan produk.
“Ia kelihatan mudah tetapi sukar. Saya menyentuh begitu banyak kotak setiap hari, malah saya mempunyai beberapa kesan luka di tangan saya sekarang. Tetapi tangan ini yang membawa saya melalui perubahan kehidupan,” katanya sambil ketawa kecil.
Wanita itu pernah dinobat sebagai ‘kuda hitam’ industri e-dagang Douyin pada Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun terdapat laporan mendakwa platform tersebut akan mengharamkan taktik penjualan pantas kerana kekurangan maklumat berkaitan produk dijual namun perkara itu belum disahkan.


































