PETALING JAYA: Fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca panas dan kering dengan suhu harian di kebanyakan tempat melebihi 35 darjah Celsius diramalkan berterusan sehingga Mei ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, berikutan fenomena El Nino kuat yang melanda dunia pada ketika ini, suhu maksimum harian di Malaysia juga boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat.
Katanya, dalam tempoh dari Februari hingga Mei, suhu maksimum harian boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang.
“Ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.
“Semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air selain orang ramai juga dinasihatkan untuk hadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Met Malaysia juga meramalkan cuaca kering dan panas berlaku di negeri-negeri utara Semenanjung dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius.
Menurut Met Malaysia, ribut petir dan hujan lebat beserta angin kencang pula masih berpotensi berlaku di beberapa tempat di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung, Sabah serta Sarawak.
Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perubatan kesihatan awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pendedahan kepada kepanasan melampau boleh mengakibatkan strok haba sehingga berisiko kematian.
Katanya, antara gejala strok haba yang perlu dikenalpasti adalah pening, kekejangan, pengsan, peningkatan suhu badan dan badan tidak mengeluarkan peluh.
“Elakkan berada di bawah panas dalam masa yang lama, elakkan aktiviti melampau di luar rumah.
“Pakai baju putih dan tidak ketat, minum banyak air dan memakai pelindung matahari ketika menaiki kereta atau motor,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Sharifa Ezat berkata, kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan pesakit dengan komorbid tinggi terutama warga emas merupakan golongan yang lebih berisiko untuk terjejas akibat cuaca panas.
“Gelombang haba ini akan menerukkan kes-kes yang tinggi komorbid dan juga jika mangsa mempunyai isu kesihatan lain,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas tentang fenomena itu menjelang pembukaan sekolah dan bulan Ramadan, Sharifah Ezat berkata, anak-anak perlu dididik untuk tidak bersukan di luar rumah waktu panas selain penjagaan guru di sekolah semasa subjek pendidikan jasmani.


































