Periuk tanah liat yang dihasilkan lebih 600 tahun lalu di utara Mexico.
WASHINGTON: Sebuah artifak budaya yang berusia berabad-abad lamanya dipulangkan semula ke Mexico pada akhir bulan lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, UPI News melaporkan, artifak itu merupakan periuk tanah liat yang dihasilkan lebih 600 tahun lalu di utara Mexico antara 900 dan 1521 sebelum Masihi.
Periuk tanah liat itu dikembalikan kepada pegawai Mexico dalam satu majlis penghantaran pulang yang diadakan pada 31 Januari lalu di Konsulat Mexico di Boston.
“Bagi pihak CBP, ia merupakan penghormatan buat saya untuk mengembalikan warisan budaya ini kepada penduduk Mexico,” kata Pengarah Pelabuhan Kawasan Boston CBP, Julio Caravia.
Sebelum ini, periuk tanah liat itu dijual dalam satu acara lelongan pada 2011 apabila pembeli menyerahkan pembeliannya kepada ejen Persekutuan.
Konsul Jeneral Mexico di Boston memfailkan petisyen untuk mendapatkan artifak itu yang kemudian diluluskan oleh Pejabat Perdagangan, Peraturan dan Ketetapan pada Mac tahun lalu.
Menurut CBP, artifak budaya sering dirompak atau dicuri yang kemudian dijual dalam pasaran barang antik bernilai bilion dolar untuk keuntungan peribadi.
Pada Jun tahun lalu, CBP mengembalikan puluhan syiling purba dicuri kepada Greece, yang dianggap sebagai koleksi terbesar seumpamanya untuk dipintas dan dihantar pulang oleh agensi tersebut.
Dilaporkan, agensi penyiasatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS menerima permohonan Perjanjian Bantuan Guaman Bersama Julai 2016 dari Mexico mengenai artifak warisan budaya tertentu termasuk periuk tanah liat yang dikeluarkan secara haram dari negara itu.
Satu perjanjian antara AS dan Mexico membolehkan pemulangan harta warisan budaya dan bersejarah lain antara kedua-dua negara.


































