Polis menemukan Ian dan rakannya yang menyamar sebagai penculik di sebuah hotel di Pattaya, Thailand.
BANGKOK: Seorang lelaki warga Britain yang sedang bercuti di Pattaya, Thailand sanggup memalsukan penculikannya semata-mata untuk memeras ugut lebih banyak wang daripada keluarganya supaya terus dapat berparti.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, Ian Robbie Day, 48, dari Portsmouth di England kehabisan wang dan cuba mendapatkannya daripada keluarganya dengan meminta rakan-rakannya menyamar sebagai penculik.
“Selepas berulang kali melanjutkan percutian di Thailand, Ian mendapati dirinya tiada wang untuk membeli minuman keras dan berparti.
“Keluarga Ian pula enggan menghantar wang lagi untuk partinya dan dia terpaksa membuat keputusan sama ada pulang ke rumah atau mencari jalan untuk mendapatkan lebih banyak wang.
“Jadi, Ian meminta rakannya menyamar sebagai penculik agar dia boleh memalsukan penculikan dan meminta wang tebusan daripada keluarga sendiri,” jelas laporan.
Menurut laporan, Ian turut meminta rakannya untuk menumbuk mukanya agar kesan lebam pada wajahnya dalam gambar dihantar kepada keluarganya kelihatan benar.
“Beberapa rakan Ian bertindak menyamar sebagai penculik dan `pose’ dalam gambar untuk menjadikan cerita penculikan itu boleh dipercayai.
“Apabila keluarga Ian melihat gambar tersebut, mereka berasa panik dan terus melaporkan kepada polis mengenai penculikan itu,” jelas laporan itu.
Ian mungkin tidak menyangka Polis Antarabangsa (Interpol) akan terlibat dalam kes penculikan yang direkanya.
Interpol dengan kerjasama polis Thailand berjaya menjejaki Ian dengan pantas ke sebuah hotel di Pattaya.
“Apabila pasukan polis memecah masuk pintu bilik hotel, mereka menemukan Ian dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah sedang berparti bersama rakannya yang menyamar sebagai penculik.
“Semua individu berkenaan ditahan atas tuduhan memiliki senjata api dan amunisi, dadah kategori satu dan tamat tempoh visa.
“Kemungkinan besar mereka akan dihantar pulang,” kata leftenan kolonel polis, Sorasak Saengcha kepada pemberita.
































