Andi (lima dari kiri) menerima cenderahati daripada guru besar sekolah.
TAWAU: Para murid, guru dan ibu bapa disaran agar sentiasa memberi nilai tambah kepada diri sendiri dengan terus belajar dan menambah ilmu supaya terus relevan dengan perubahan dan peredaran zaman.
Pembantu Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang juga ADUN Tanjung Batu berkata, ini terutamanya dalam era globalisasi dan perkembangan maklumat yang meletakkan kedudukan pencarian ilmu hanya di hujung jari.
“Pendidikan sebenarnya menuntut kita untuk sentiasa memperbaharui diri
dengan ilmu dan tekad yang baharu pada setiap masa.
“Kita mendapati peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya. Murid-murid bukan sahaja hadir ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada ibu bapa agar senantiasa merebut semua peluang baik yang ada,” katanya ketika merasmikan majlis Hari Apresiasi Kecemerlangan SK Merotai Besar sesi 2023/2024 di sini hari ini.
Andi juga berharap hubungan erat antara pihak sekolah dengan ibu bapa
dapat merealisasikan hasrat sekolah untuk menjadi sebuah institusi pendidikan yang cemerlang malah mampu membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi serta berdaya saing.
“Usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak.
“Oleh itu, perlu diingat pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah. Disiplin yang tinggi adalah resipi kejayaan kerana tanpa disiplin, murid tidak akan dapat mencapai kecemerlangan dan kesempurnaan dalam hidup.
“Begitu juga dalam aspek kerohanian, akhlak, tatasusila dan kewarasan fikiran. Harus diingat bahawa pendidikan yang mengutamakan aspek akademik semata-mata akan melahirkan generasi yang pintar tetapi tidak mampu menonjolkan kebijaksanaan semasa mengambil tindakan atau membuat sesuatu keputusan,” tegasnya.
Mengucapkan syabas dan tahniah kepada SK Merotai Besar yang berjaya mengadakan program itu sebagai satu program tahunan demi kepentingan para murid, Andi berkata, kejayaan dan sumbangan mereka sama ada dalam bidang kurikulum, kokurikulum mahupun dalam bidang hal ehwal murid wajar diraikan atas usaha mereka yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.
“Diharapkan kejayaan anak-anak ini akan menjadi suntikan semangat kepada murid-murid lain agar dapat mengorak langkah yang sama mencipta kecemerlangan dan kegemilangan pada masa akan datang,” kata Ahli Parlimen Kalabakan itu.
Andi berharap SK Merotai Besar akan terus maju dan mencapai kejayaan yang
cemerlang dan terbilang.
“Saya akan sentiasa memberi sokongan padu dan mendoakan agar murid-murid sekolah ini akan terus menjana kejayaan cemerlang dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah. Saya yakin, semangat dan kesungguhan guru menabur bakti kepada anak didik akan menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” katanya.


































