Ahmad Yusof Din
KUALA NERUS: Seorang pemuda lemas ketika cuba mengambil bot kawalan jauhnya yang rosak di tengah sungai berhampiran jeti nelayan di Kampung Bukit Tumbuh dekat sini, malam Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, Ahmad Yusof Din, 24, dikatakan berenang sejauh 20 meter apabila bot kawalan jauhnya rosak sebelum lemas secara tiba-tiba.
Rakan karibnya yang berusia 26 tahun turut terjun ke dalam sungai bagi mendapatkan mangsa namun usaha itu gagal sebelum dia diselamatkan penduduk kampung yang berada berhampiran.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar, seramai 16 anggota termasuk pasukan penyelamat di air (PPDA) digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.55 malam.
Beliau berkata, mayat Ahmad Yusof dijumpai dalam keadaan tertiarap di dasar sungai berkedalaman 12 meter selepas dua jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan.
“Hasil maklumat awal, pihak bomba diberitahu kejadian melibatkan dua sahabat karib yang sedang bermain bot kawalan jauh dengan salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas.
“Mayat mangsa ditemukan unit PPDA pada pukul 12.56 tengah malam ketika selaman kedua pada jarak 30 meter dari jeti iaitu lokasi mangsa dikatakan terjun untuk mengambil bot kawalan jauhnya.
“Faktor cuaca baik dan arus sungai yang tidak begitu deras membantu pasukan SAR segera menjumpai mayat mangsa sebelum operasi ditamatkan pukul 1.10 pagi,” katanya di sini, Isnin.
Azmi menjelaskan, rakan karib mangsa yang diselamatkan oleh orang awam itu diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
Tambahnya, mayat mangsa pula diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk tindakan lanjut.
































