Lakaran imej lif angkasa ciptaan Jordan William Hughes.
LONDON: Seorang arkitek dari Cumbria, England berjaya mencuri tumpuan warga net selepas mendedahkan pelan luar biasa untuk membina lif yang mampu mengangkut manusia ke angkasa.
Dipanggil Ascensio, lif itu terdiri daripada kabel panjang yang menambat asteroid di dalam orbit geosynchronous pada platform terapung di bumi.
Menurut Utusan Malaysia, idea futuristik Jordan William Hughes mula mendapat perhatian media selepas beliau dilaporkan berjaya memenangi hadiah wang tunai berjumlah 10,000 euro (RM51,166) daripada Yayasan Jacques Rougerie di Paris awal bulan ini bagi kategori seni bina dan inovasi angkasa lepas.
“Dron akan mengangkut penumpang ke atas dan ke bawah di sepanjang kabel seperti kereta api di landasan.
“Akan ada enam kabel dengan tiga daripadanya menempatkan manusia dan mengandungi oksigen manakala tiga lagi berfungsi untuk menyimpan kargo.
“Sebaik sahaja penumpang yang menaiki lif tiba di stesen angkasa sekitar 36,000 kilometer dari Bumi, mereka boleh meluaskan pengalaman untuk meneroka ruang angkasa kosmik yang mereka inginkan,” jelasnya kepada BBC.
Hughes berkata, idea itu mungkin kelihatan seperti khayalan ketika ini tetapi beliau percaya lif angkasa lepas bakal menjadi kemudahan yang akan digunakan pada masa hadapan.
Menurut Hughes, reka bentuk lif tersebut dihasilkan sebagai alternatif kepada teknologi roket yang disifatkannya tidak cekap, mahal dan berbahaya untuk alam sekitar.
“Ia akan merevolusikan cara kita pergi menuju dan pulang dari angkasa dan menjadikannya lebih berdaya maju.
“Ini akan menjadi projek yang sangat mahal, bercita-cita tinggi dan ia bukan sesuatu yang saya jangkakan untuk dibina dalam tempoh 10 tahun akan datang. Tetapi saya cukup pasti pada satu ketika ia akan menjadi realiti.
“Mobiliti Ascnesio yang ringan dan lengkap dengan ciri keselamatan akan menjadikannya kenderaan ideal untuk perjalanan angkasa lepas,” katanya.


































