Dr. Jeffrey (dua dari kanan) dengan diiringi Dr. Joachim (empat dari kiri) bersama tetamu yang hadir bergambar bersama sambil memegang cendawan yang diusahakan oleh KPD, Ranau
RANAU: Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berharap Kundasang akan terus mengekalkan identitinya sebagai pengeluar utama sayuran tanah tinggi.
Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, fasiliti-fasiliti yang Korporasi Pembangunan Desa (KPD) wujudkan dan projek-projek yang dilaksanakan di Kundasang akan menjadi pemangkin kepada pengusaha-pengusaha untuk meningkatkan kapasiti masing-masing yang dapat menyumbang pengeluaran hasil pertanian di Sabah secara keseluruhannya.
“Jika bekalan konsisten, Sabah boleh menambah pengeksportan ke luar negeri. Saya berharap semua ini juga akan mempertingkatkan lagi pendapatan keluarga masing-masing.
“Selain itu, pengeluaran sayur-sayuran boleh menyumbang dalam kestabilan keterjaminan makanan khususnya sayur-sayuran,” katanya ketika berucap pada pelancaran tiga projek KPD di Kundasang iaitu Kilang Pemprosesan Bibit Cendawan Masilau, Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) dan Stesen Minyak di Kilang Cendawan, Masilau, Kundasang, dekat sini, hari ini.

Dr. Jeffrey (tengah) bersama Dr. Joachim (kiri) diberikan penerangan ketika melawat tapak penanaman daun sup atau ranting suri (nama saintifik: Apium graveolens)
Ketiga-tiga projek merupakan sebahagian daripada inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk memberi manfaat kepada rakyat dan memberi impak kepada ekonomi Sabah secara keseluruhannya.
Dr. Jeffrey berkata, pada tahun 2021, KPD telah merangka sembilan inisiatif dan dua daripada inisiatif itu sebahagiannya terlibat di kawasan Kundasang iaitu Inisiatif Pengeluaran Cendawan dan juga Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC).
“Dengan adanya inisiatif sebegini, ianya sangat baik kerana segala strategi, bajet dan tenaga akan lebih terfokus untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Dr. Jeffrey (tengah) dan Dr. Joachim (kanan) mencuba buah strawberry yang turut ditanam di kawasan tanah tinggi itu sambil diperhatikan oleh Peto (kiri)
Pengeluaran cendawan di Sabah diterajui oleh KPD.
“Dengan adanya kilang ini pengeluaran bibit cendawan dijangka akan berlipat ganda dengan meningkatnya efisiensi kerja melalui penggunaan teknologi moden. Selain itu, KPD juga boleh membekal lebih banyak lagi bibit cendawan kepada lebih ramai pengusaha cendawan khususnya cendawan Shiitake iaitu cendawan yang ditanam di kawasan yang mempunyai cuaca yang sejuk di Sabah seperti Pekan Nabalu, Kg. Togudon Moyog, Penampang dan Puncak Kimanis, Keningau.
“Dengan cara ini, Sabah dapat mengurangkan pengimportan dari negara luar di samping dapat meningkatkan pendapatan petani, menambah peluang pekerjaan dan meningkatkan tahap keterjaminan makanan di Sabah,” ujarnya.
Selain projek yang diusahakan oleh KPD, Kundasang merupakan kawasan pengeluaran berbagai sayur-sayuran tanah tinggi yang menyumbang kepada bekalan sayuran-syuran tempatan malah untuk pasaran eksport.
Majoriti penduduk luar bandar dan khususnya penduduk Kundasang terlibat dalam aktiviti pertanian dan bergantung kepada hasil pertanian sebagai sumber pendapatan.
Namun seperti di tempat-tempat lain, isu pemasaran hasil pertanian merupakan isu yang menjadi cabaran dalam aktiviti pertanian mereka. Ini kerana ketiadaan kemudahan untuk saluran memasarkan hasil menyebabkan terdapat hasil tani mereka tidak terjual, menjadi rosak atau terbazir mengakibatkan kerugian.
“Justeru itu, inisiatif KPD membina sebuah Pusat Pengumpulan Hasi Tani (APCC) di Kundasang sangat relevan dan tepat pada masanya dalam memberi kemudahan kepada penduduk dan pengeluar sayur-sayuran dan buah-buahan di kawasan Kundasang, Ranau secara khususnya dan Sabah secara umumnya.

Dr. Jeffrey sedang menghidupkan mesin dengan menekan punat ‘start button’ pada mesin pengendalian penanaman cendawan sambil diperhatikan oleh Dr. Joachim (empat dari kiri) bersama tetamu yang hadir dalam lawatan itu
“Matlamat pewujudan APCC ini adalah sejajar dengan Hala Tuju Pembangunan Sektor Pertanian di Sabah, khususnya dalam melonjakkan ekonomi rakyat. Pusat ini membeli dan memasarkan hasil tani tempatan.
“Untuk memantapkan lagi urus niaga, pusat ini telah dilengkapi dengan berbagai fasiliti pemasaran seperti ruang pengumpulan, penggredan, bilik penyimpanan sejuk, pembungkusan dan pengangkutan. Kita tahu bahawa hasil tani merupakan hasil yang mudah rosak dan tidak tahan lama maka APCC juga dilengkapi dengan kemudahan penyejukan atau chiller bagi membantu menambah jangka hayat produk tani dan mengurangkan kerosakan.
“Dengan adanya perkhidmatan tambahan seperti pembungkusan hasil tani, golongan petani boleh menggunakan kemudahan ini untuk menambah nilai hasil tani yang dikeluarkan,” katanya.
Dr. Jeffrey berkata, dalam era teknologi yang semakin canggih, urusan transaksi pemasaran lebih mudah seperti sistem digital iaitu KPD-SMART yang digunakan sebagai media dalam urusniaga produk-produk tani di pusat-pusat pengumpulan KPD termasuk di Kundasang.
Jelasnya, sistem ini sangat baik kepada pengeluar hasil tani dan juga kepada pelanggan seperti pengeksport, pemborong, pengilang dan peruncit.
“Melalui sistem ini, KPD boleh memberi makluman mengenai jenis produk dan kuantiti yang ada di APCC dan yang dapat diurusniagakan bagi sesuatu tempoh sama ada secara dalam talian atau di lokasi pusat-pusat pengumpulan. Selain itu, KPD-SMART juga menjadi pangkalan data bagi data pembelian dan penjualan hasil tani yang diurusniagakan di APCC secara tepat dan sistematik.
“Selain itu, KPD boleh menggunakan sistem untuk merangka strategi dan membentuk satu rangkaian pemasaran dengan menjadikan pusat-pusat pengumpulan sebagai pusat sehenti di antara pengeluar dan pengguna untuk mendapatkan bekalan dan keperluan mereka.
“Dengan kewujudan dan beroperasinya APCC ini, ianya akan menjadi pemangkin kepada perkembangan industri pertanian di Sabah di samping dapat membantu masyarakat tani memperolehi pendapatan tambahan yang lebih baik dan berterusan yang membolehkan peningkatan taraf sosioekonomi mereka melalui penjualan hasil pertanian secara berterusan ke pusat pengumpulan dan pemasaran hasil tani.”
Dr. Jeffrey berkata, selain daripada projek-projek yang berkait langsung dengan aktiviti pertanian, KPD juga menjalankan projek Stesen Minyak di Kundasang.
Idea ini sangat baik kerana ia boleh mendukung aktiviti-aktiviti yang ada di Kundasang dan juga penduduk secara umumnya, tambahnya.
“Kewujudan stesen minyak ini akan memudahkan penduduk dan orang awam mendapat bekalan bahan api yang boleh merancakkan aktiviti ekonomi di Kundasang termasuk aktiviti pertanian.
“Tambahan lagi, Kundasang merupakan destinasi pelancongan maka kewujudan stesen minyak ini memberi kemudahan kepada para pelancong dan memberi nilai tambah kepada Kundasang dan KPD dari segi pembangunan pelancongan yang mendatangkan pulangan ekonomi kepada penduduk Kundasang, khususnya dan Sabah amnya,” katanya.
Beliau juga berharap KPD akan terus berusaha dan berkembang maju serta berganding bahu bersama-sama dengan jabatan-jabatan kerajaan yang lain dalam menyampaikan hasrat Kerajaan dalam memakmurkan rakyat Sabah.
Katanya, perubahan situasi ekonomi dunia sentiasa berubah dan Sabah tidak terkecuali.
Beliau menegaskan, sebagai pelaksana agenda kerajaan, pihak kerajaan atau secara khususnya jabatan dan agensi kerajaaan harus bijaksana untuk merancang dan mengatur strategi untuk melaksana projek-projek yang mendatangkan manfaat terutamanya rakyat yang turut terjejas kehidupan mereka.
“Kenaikan harga input pertanian yang sukar dikawal pada masa ini kerana ianya melibatkan bahan mentah yang diimport. Kita perlu mengadptasi keadaan atau mencari alternatif lain dengan penggunaan bahan tempatan yang lebih murah untuk menggantikan bahan yang diimport atau amalan pertanian yang lebih baik.
“Penggunaan teknologi pertanian moden seperti penggunaan mesin atau kaedah mekanisasi yang lebih efisien sangat relevan dalam pembangunan pertanian masa kini,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga ADUN Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam; Pembantu Menteri II Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Peto Galim; Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; Pengerusi Lembaga Pengarah KPD, Jannie Lasimbang; Setiausaha Tetap Kementerian, Robert Stidi, Pengurus Besar KPD, Jamilah Lee, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam serta semua Ahli Lembaga Pengarah KPD.